BERITA tentang Proton Iriz (2019) versi dipertingkat (facelift) sudah kedengaran sejak Januari tahun ini. Bermula gambar tular, dan disusuli kemunculan Iriz versi dunia nyata sedang dinaiki Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sebulan selepas itu, Proton tampil menyiarkan foto rasmi Iriz (2019) sambil menyatakan model ini akan dipasangkan ciri arahan suara 'Hi Proton', sama seperti SUV kompak, X70. Kemudian, pengeluar nasional itu tidak menunggu masa lama untuk membuka pratempahan secara atas talian pada harga serendah RM9.99 sahaja!
Proton turut mempamerkan Iriz (2019) kepada umum pada Malaysia Autoshow 2019, minggu lalu. Jadi, pelancaran rasmi hari ini lebih kepada pengumuman harga dan perincian spesifikasi. Apa yang menarik tentang hatchback subkompak ini?
1. HARGA MENARIK, LEBIH MURAH, ADA PILIHAN 1.6L!
- Proton Iriz Standard 1.3L MT - RM36,700
- Proton Iriz Standard 1.3L CVT - RM39,700
- Proton Iriz Executive 1.3L CVT - RM44,700
- Proton Iriz Executive 1.6L CVT - RM46,700
- Proton Iriz Premium 1.6L CVT - RM50,700
* Harga ialah untuk pasaran Semenanjung Malaysia. Harga Malaysia Timur perlu ditambah RM2,000 untuk setiap varian.
Menariknya, harga Iriz (2019) edisi facelift ini jauh lebih murah berbanding model lama. Sebagai contoh, model paling premium, Iriz Premium 1.6L CVT berharga RM50,700, manakala Iriz lama RM58,800 untuk varian Premium 1.3L CVT dengan beza harga hingga RM8,100. Enjin lebih berkuasa, spesifikasi lebih bagus dan harga lagi murah! Macam tak percayakan?
BACA >>> Proton Iriz 2017 'Refinement' Masuk Pasaran - Harga Bermula RM43,800 Hingga RM58,800
Malah, varian paling asas, iaitu Standard 1.3L MT cuma serendah RM36,700, dikurangkan hingga RM7,100 daripada varian sama versi lama yang berharga RM43,800!
2. ENJIN SAMA
Proton Iriz (2019) dijana enjin 4-silinder sebaris 16 injap DOHC dalam dua sesaran enjin 1.3L (93hp @ 5,750rpm, 120Nm @ 4,000rpm) dan 1.6L (107hp @ 5,750rpm, 150Nm @ 4,000rpm) dengan pilihan dua transmisi, manual 5-kelajuan (varian Standard 1.3L MT sahaja) dan CVT, manakala sistem bahan api menggunakan teknologi Suntikan Multipoin (MPI).
Kapasiti tangki ialah 40 liter dan turut disertakan bersama mod Bantuan Pemanduan ECO untuk semua varian.
Sistem suspensi menggunakan strut MacPherson dan bar stabiliser di depan dan gandar kilas rasuk aka torsion beam di belakang. Sistem brek ialah cakera di depan dan brek dram di belakang.
BACA >>> Kos Servis Bezza Lagi Mahal Berbanding Proton Persona (2019), Ini Jawapan Perodua!
3. LUARAN LEBIH SEGAR, GRIL 'INFINITY WEAVE' DAN 'ETHERNAL BOW'
Setiap varian Iriz (2019) ada lampu belakang kombi jenis LED, spoiler dan antena sirip jerung. Jika memilih varian Executive 1.3 CVT ke atas, pembeli diberikan ciri lampu siang (DRL), lampu utama automatik, lampu utama 'Follow Me', dan kawalan but. Varian 1.6 mendapat cermin sisi elektrik dan boleh lipat automatik.
Varian atasan, Premium 1.6L CVT dapat dibezakan menerusi penampilan bumbung hitam, manakala varian lain warna badan.
Iriz (2019) menampilkan tayar 175/65 R14 dan rim aloi 14 inci untuk varian 1.3L, dan 185/55 R15 dan rim aloi 15 inci, varian 1.6L. Ada lima warna ditawarkan: Ocean Blue (biru), Ruby Red (merah), Snow White (putih), Armour Silver (perak) dan Jet Grey (kelabu)
4. DALAMAN DIPERBAHARU, PANEL METER BAHARU
Fabrik dan uretana menjadi material utama upholsteri dan roda stereng, kecuali varian Premium 1.6L CVT mendapat kemasan semi-kulit untuk kerusi dan kulit penuh untuk stereng. Kerusi belakang boleh dilipat 60:40 untuk ekstra ruang bagasi. Varian paling premium juga dipasangkan suis kawalan pada stereng untuk fungsi audio dan kit fon bebas tangan.
Paparan multi-info jenis TFT disediakan untuk varian Executive 1.3 CVT ke atas, dan di bawah mendapat LCD biasa. Varian sama juga mendapat punat tekan mula (push-start) dan tingkap anti-jepit.
5. PAKEJ KESELAMATAN LENGKAP
Iriz (2019) mendapat rating 5 bintang dalan ujian perlanggaran Asean NCAP menerusi pakej ciri keselamatan lengkap, terdiri daripada
- 2 beg udara SRS (semua varian), tetapi varian Premium 1.6L CVT dibekalkan 6 beg udara (2 sisi, 2 tirai)
- Pautan kerusi ISOFIX an pautan atas
- Sistem Brek Anti-Kunci (ABS)
- Agihan Brek elektronik (EBD)
- Bantuan Brek (BA)
- Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC)
- Sistem Kawalan Traksi (TCS)
- Bantuan Pegun Bukit (HHA)
- Sensor Parkir Depan
- Kamera Undur dengan Garis Dinamik (varian Executive 1.3L CVT, Executive 1.6L CVT dan Premium 1.6L CVT)
6. SISTEM INFOTAINMENT MODEN, TERKINI
Ini ciri baharu ditampilkan Iriz (2019), sesuai dengan trend teknologi kenderaan moden masa kini. Setiap varian dilengkapkan tiga palam USB (1 untuk data, 2 untuk cas) dan sambungan Bluetooth. Ada dua pembesar suara untuk varian Standard 1.3L MT dan AT, dan empat pembesar suara, termasuk konektiviti telefon pintar untuk varian Executive 1.3L CVT ke atas.
Namun, varian Premium 1.6L CVT pasti lebih bertuah kerana dilengkapkan dengan arahan suara 'Hi Proton', strim muzik atas talian, navigasi atas talian, dan ciri 4G dengan WiFi. Sistem audio menggunakan monitor skrin sentuh 7 inci untuk Executive 1.3L CVT ke atas, manakala varian di bawah cuma audio biasa.
BACA >>> Hi Proton! Bagaimanakah Cara Guna Fungsi Arahan Suara X70?
7. WARANTI
Setiap pembelian Iriz (2019) ditawarkan waranti 5 tahun atau 150,000km (mana satu tiba dahulu) dan pakej data 5 tahun dengan 1GB sebulan.
Sama seperti Persona, bakal pembeli Proton Iriz (2019) turut menikmati faedah pinjaman serendah 2.93 peratus selain diberikan tiga kali caj kos upah secara percuma (sehingga 20,000km).
BACA >>> Proton Persona Lama vs Facelift: Apa yang Baharu? Apa yang Berubah?
Nadia Halim says
Macam mana dengan minyak? Yang baru lebih jimat minyak atau sama saja?