BUKAN sebuah tapi tiga sekaligus model konsep elektrik dari Volkswagen.
Selepas mempamerkan ID. CODE di Beijing pada 2024 sebagai hala tuju baharu dari segi reka bentuk, inovasi dan nilai kepada pelanggan, Volkswagen kini tampil bersama rakan usaha sama tempatan di China untuk mempertontonkan ID. Aura (FAW-Volkswagen), ID. Era (SAIC Volkswagen) dan ID. EVO (Volkswagen Anhui).
Ketiga-tiga model ini mewakili generasi baharu kenderaan elektrik pintar dan menjadi gambaran awal kepada strategi produk Volkswagen dalam beberapa tahun akan datang.
Volkswagen merancang melancarkan lebih 30 model baharu menjelang akhir 2027 untuk pasaran China, termasuk 20 Kenderaan Tenaga Baharu (NEV).
Ini turut melibatkan versi produksi bagi ketiga-tiga model konsep yang ditampilkan di Shanghai, dengan reka bentuk dan teknologi yang disesuaikan khusus untuk keperluan pelanggan China.
Apa yang menarik, tiga model ini bukan EV sepenuhnya tetapi NEV dan bermakna ada yang menggunakan enjin pembakaran dalaman (ICE).
Hasil Strategi ‘In China, for China’
- Ketua Pegawai Eksekutif jenama Volkswagen, Thomas Schäfer menjelaskan bahawa tiga kenderaan konsep ini ialah hasil jelas daripada strategi ‘In China, for China’.
- Volkswagen telah membuat segala persiapan untuk terus kekal di baris depan dalam kalangan pengeluar asing di China.
Penampilan Sulung
- Ketiga-tiga model diperkenalkan kepada umum buat kali pertama di China dan akan terus dipamerkan di Auto Shanghai hingga awal Mei.
- Ketiga-tiganya diklasifikasikan sebagai NEV, merangkumi kenderaan elektrik, hibrid plug-in dan sistem pemanjang jarak (range extender).
Sokongan Sistem AI dan Tahap Pemanduan Automatik Tinggi
- Semua versi produksi akan dilengkapi sistem berasaskan AI untuk pemanduan automatik tahap tinggi.
- Semua versi produksi bagi kenderaan konsep yang diperkenalkan di Shanghai akan dilengkapi sistem berasaskan AI untuk pemanduan automatik tahap tinggi.
- Kenderaan ini dijangka mampu mencapai Level 2++ seawal tahun hadapan.
- Ini bermakna, dalam situasi tertentu, kenderaan akan dapat dipandu secara autonomi sepenuhnya seperti memotong, gerakan membelok dan memasuki aliran trafik secara kendiri, dengan pemantauan pemandu.
Lebih 20 NEV Teknologi Tinggi Akan Diperkenalkan
- Menurut Stefan Mecha, Ketua Pegawai Eksekutif Volkswagen Passenger Cars Brand untuk China, Volkswagen akan memperkenalkan lebih daripada 20 NEV dengan teknologi masa depan dalam tempoh tiga tahun akan datang. Strategi tempatan akan membantu memperkukuh potensi dan inovasi jenama di China.
Pembangunan Model Lebih Pantas di Hefei
- Thomas Ulbrich, Ketua Pegawai Eksekutif Volkswagen China Technology Center (VCTC), menjelaskan bahawa pusat pembangunan baharu di Hefei membolehkan Volkswagen beroperasi mengikut 'kelajuan China' (China speed).
- Tempoh pembangunan disasarkan tidak melebihi 34 bulan bagi setiap model, dengan penyesuaian mengikut keperluan teknologi pengguna tempatan.
Reka Bentuk Disesuaikan Mengikut Ciri Pelanggan China
- Ketiga-tiga kenderaan konsep menampilkan identiti reka bentuk tersendiri, tetapi tetap mudah dikenali sebagai model Volkswagen.
- Ketua Pereka Andreas Mindt menyatakan bahawa ID. CODE menjadi asas kepada arah reka bentuk baharu di China yang kini diperhalusi untuk setiap usaha sama.
ID. Era – SUV Tiga Baris dengan Teknologi Pemanjang Jarak

- Dihasilkan oleh SAIC Volkswagen, ID. Era ialah SUV bersaiz penuh dengan tiga baris tempat duduk.
- Model pertama Volkswagen dengan teknologi pemanjang jarak di mana penjana bahan api mengecas bateri ketika memandu, menambah jarak lebih 700km.
- Dengan tambahan 300km dalam mod elektrik, jumlah jarak perjalanan mencecah lebih 1,000km.
ID. EVO – SUV Elektrik untuk Gaya Hidup Muda
- ID. EVO daripada Volkswagen Anhui disasarkan kepada pembeli muda yang mengutamakan gaya hidup dan ingin tampil berbeza daripada orang lain.
- Dibangunkan atas platform 800-volt, ID. EVO ialah SUV elektrik sepenuhnya bersaiz penuh yang pertama dalam keluarga ID. UNYX.
- Kenderaan konsep ini dilengkapi seni bina elektronik pintar mengikut zon dengan sokongan pelbagai perkhidmatan digital baharu dan kemas kini over-the-air pada selang masa yang singkat.
ID. Aura– Sedan Elektrik untuk Segmen Harga Mampu Milik

- ID. AURA daripada FAW-Volkswagen merupakan kenderaan konsep pertama yang dibina menggunakan Compact Main Platform (CMP), lengkap dengan seni bina elektronik khas untuk pasaran China.
- Dengan keupayaan pengkomputeran tinggi berasaskan AI, sistem pemanduan automatik lanjutan pada platform ini menetapkan penanda aras baharu bagi kelakuan pemanduan yang pintar dan semula jadi.
- Konsep sedan elektrik notchback ini dibangunkan khusus untuk pelanggan dalam segmen A yang mementingkan nilai, menggabungkan teknologi moden dengan rekaan dinamik.
- Panel konsol tengah menampilkan sistem UI/UX yang menyerupai pengalaman telefon pintar, manakala pembantu AI humanoid membolehkan kawalan lancar terhadap fungsi kenderaan dan infotainmen.

Volkswagen jelas sedang mempergiat usaha mereka dalam pasaran automotif paling kompetitif di dunia dengan pendekatan yang disesuaikan khas untuk keperluan pengguna China.
Ketiga-tiga kenderaan konsep ini bukan sekadar pernyataan gaya dan teknologi, tetapi juga hala tuju Volkswagen ke arah masa depan mobiliti pintar di China.
Volkswagen ID. Era, ID. Aura, ID. Evo:
Volkswagen ID. Era:
Volkswagen ID. Aura:
Volkswagen ID. Evo:
Leave a Reply