Toyota Motor Corporation (Toyota) mengumumkan bermulanya jualan e-Palette, sebuah kenderaan elektrik bateri (BEV) generasi baharu, bermula 15 September 2025 di Jepun.
Model ini dibangunkan bagi memenuhi pelbagai bentuk perkhidmatan mobiliti, termasuk pengangkutan awam, ruang perniagaan mudah alih, dan juga platform hiburan.
Menariknya, pada Februari 2024, Toyota membawa Toyota e-Palette Concept ke Kuala Lumpur sempena Pameran Toyota Beyond Zero.
Misi Toyota dengan e-Palette bukan baharu dan kenderaan ini pernah digunakan sebagai pengangkutan rasmi sepanjang Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Masa Depan Mobiliti Toyota
Toyota akan membawa masuk e-Palette ke TOYOTA ARENA TOKYO dan Toyota Woven City untuk pelbagai inisiatif termasuk perkhidmatan pengangkutan dan kedai bergerak.
Demonstrasi pemanduan automatik juga akan dilaksanakan bersama pengedar, pihak berkuasa tempatan serta rakan teknologi.
Menerusi e-Palette, Toyota terus memperluas kemungkinan mobiliti ke arah mewujudkan masyarakat mobiliti di mana semua orang dapat menikmati kebebasan bergerak bukan sahaja dari segi fizikal, malah juga secara emosi.
Melihat kepada perancangan ini, e-Palette juga dilihat bersesuaian untuk kompleks perumahan seperti Forest City atau di pusat pengajian yang luas di dalam negara kita.
Reka Bentuk dan Kegunaan Pelbagai
e-Palette direka dengan kabin luas serta tingkap besar yang memberi rasa keterbukaan. Ia bukan sekadar pengangkutan, tetapi mampu berubah fungsi mengikut keperluan, antaranya:
- Bas ulang-alik pada waktu pagi dan petang.
- Kedai bergerak ketika siang hari.
- Kenderaan hiburan dengan pemasangan peralatan komunikasi atau audio, membolehkan pengalaman tontonan sukan realistik atau lawatan maya ketika bergerak.
Kabin boleh diubah suai dengan mudah, sesuai untuk menyokong aplikasi mobiliti lebih kreatif mengikut idea pelanggan.
Reka Bentuk Mesra Akses
- Lantai rendah dengan fungsi larasan ketinggian.
- Pintu gelangsar lebar serta ramp elektrik membolehkan pengguna kerusi roda naik dan turun secara berdikari pada ketinggian kaki lima 15 cm.
- Pilihan tambahan termasuk peranti pengikat kerusi roda sekali sentuh.
Keselamatan dan Pemanduan Automatik
e-Palette mampu menggunakan sistem pemanduan automatik yang mematuhi spesifikasi Level 2.
Toyota akan terus menambah baik fungsi dengan sasaran melancarkan model dilengkapi sistem pemanduan automatik Level 4 ke pasaran menjelang tahun fiskal 2027.
e-Palette boleh menggunakan sistem pemanduan automatik yang dibangunkan oleh pelbagai syarikat (ADK: Automated Driving Kit; perkakasan dan perisian kawalan pemanduan automatik, termasuk sensor seperti kamera dan LiDAR) yang sesuai dengan Vehicle Control Interface (VCI) Toyota.
Sambungan standard dan sistem sandaran (redundant) dipasang bagi menjamin realibiliti, manakala integrasi dengan sistem pengurusan operasi memastikan kelancaran operasi.
Kelengkapan Canggih
- Steer-by-Wire System untuk kawalan stereng generasi baharu dengan beban input lebih ringan.
- Stereng bentuk unik yang membentuk kokpit moden.
- Paparan digital (digital signage) di dalam dan luar kenderaan, boleh diubah untuk berkongsi maklumat mengikut kegunaan.
- Sistem pemantauan kabin untuk keselamatan operasi pintu.
Fungsi Pengecasan dan Bekalan Kuasa
e-Palette menggunakan pengecasan standard dan pantas, serta boleh membekalkan tenaga elektrik ketika tidak bergerak dan sesuai sebagai sumber kuasa kecemasan sewaktu bencana.
Spesifikasi Utama
- Dimensi (P x L x T): 4,950 x 2,080 x 2,650 mm
- Dimensi kabin (P x L x T): 2,865 x 1,780 x 2,135 mm
- Berat: 2,950 kg
- Kapasiti penumpang: 17 orang (4 duduk + 12 berdiri + 1 pemandu)
- Ketinggian lantai: 370 mm (270 mm dengan pilihan larasan)
- Bukaan pintu (L x T): 1,280 x 1,900 mm
- Kelajuan maksimum: 80 km/j
- Radius pusing minimum: 6.5 m
- Jarak gerak: ±250 km (WLTC mod bandar & pinggir bandar)
- Bateri: Litium-ion, 72.82 kWj
- Motor: AC synchronous, 150 kW, 266Nm
- Masa pengecasan:
- Pantas (DC 90 kW / 200 A): ±40 minit (80%)
- Standard (AC 6 kW / 30 A): ±12 jam
Harga dan Jualan
- Harga (MSRP): Dari 29,000,000 yen (RM827,200) termasuk cukai.
- Layak menerima subsidi 15,835,000 yen (RM451,700) di bawah Projek Promosi Elektrifikasi Kenderaan Komersial Kementerian Alam Sekitar Jepun (setakat 15 September 2025).
Leave a Reply