MEMANDU dalam hujan lebat berpanjangan memang mencemaskan, terutama di bandar-bandar besar yang berisiko mengalami banjir kilat dalam masa kurang sejam. Artikel kali ini akan berkongsi kepada anda tip redah banjir yang perlu anda tahu.
Namun, nasihat kami, jika anda belum memandu, sila tangguhkan perjalanan dan tunggu hingga hujan reda dulu. Jika sedang memandu, cuba cari kawasan untuk berhenti sementara menunggu cuaca kembali pulih. Ini kerana kita tidak dapat mengagak seteruk mana hujan yang melanda.
Kita sendiri sedia maklum tentang betapa teruk kesesakan jalan raya setiap kali hujan walaupun tidak lebat. Inikan pula jika hujan lebat. Hati-hati!
Inilah 9 tip yang patut anda ikut jika memandu dalam situasi banjir:
BACA >>> #ApaNakBuat: Hujan Lebat? Ikut Tip Ini untuk Memandu Selamat!
BACA >>> #ApaNakBuat: Tip Pandu Selamat Ketika Hujan Lebat
- Jangan cuba redah banjir jika tidak pasti kedalaman air. Jadikan kaki lima, pembahagi jalan dan papan tanda di tepi jalan sebagai penunjuk.
- Jika mahu meredah banjir, pastikan melalui bahagian jalan paling tinggi.
- Pandu secara tetap, kekalkan kelajuan yang sangat perlahan supaya tidak menyebabkan air bergelombang di hadapan. Benarkan kenderaan depan jauh melepasi anda terlebih dulu.
- Pastikan dapat lihat laluan daratan yang jelas di depan supaya tidak perlu berhenti mengejut di tengah air kerana hilang punca.
- Memandu laju sangat bahaya untuk kenderaan lain, terutama motosikal dan pejalan kaki, serta boleh menyebabkan hilang kawalan akibat masalah akuasatah (aquaplaning), iaitu situasi tayar kenderaan tidak mencecah permukaan jalan kerana terdapat lapisan air antara kedua-duanya.
- Pandu dalam jarak selamat dari kenderaan depan.
- Jangan cuba memandu melepasi air atau banjir yang sedang mengalir laju. Anda berisiko diseret air!
- Uji brek selepas melepasi banjir.
- Jika enjin mati, jangan cuba menghidupkan semula enjin kerana kerosakan teruk boleh berlaku. Sebaliknya, minta bantuan kecemasan sama ada menelefon pihak insurans untuk menghantarkan trak tunda atau hubungi pihak bertanggungjawab.
INFOGRAFIK: 7 TIP PANTAS
SUMBER: RAC.co.uk
Leave a Reply