INSENTIF kenderaan elektrik (EV) di Malaysia perlu diteruskan secara bersasar dan berperingkat, bukan dilaksanakan tanpa had.
Pendekatan itu penting bagi memastikan keyakinan pengguna terus terjamin dan industri automotif kekal berdaya saing, kata Pengarah Urusan Stellantis ASEAN, Isaac Yeo.
Insentif Berfasa Bantu Bina Ekosistem EV Kukuh
Menurut Yeo, insentif yang disusun berfasa akan melindungi pengguna daripada lonjakan kos mendadak, mengekalkan momentum pasaran dan mewujudkan penanda aras jelas bagi pembangunan ekosistem EV.
Insentif yang sejajar dengan pemindahan teknologi tempatan akan membina ketahanan industri, bukannya mencipta kebergantungan. Langkah ini juga memastikan Malaysia kekal kompetitif berbanding negara serantau.”
Beliau menambah, sejak 2022, insentif di bawah Dasar Automotif Nasional 2030 (NAP 2030) berjaya memberi peluang pengguna merasai pengalaman pertama memiliki EV pada harga lebih mampu milik.
Perkembangan positif itu boleh dilihat melalui:
- Peningkatan minat pengguna terhadap EV
- Rangkaian pengecasan semakin meluas
- Pelaburan baharu daripada pengeluar automotif
Namun, beliau mengingatkan kadar penembusan EV di Malaysia masih sederhana dan liputan pengecasan belum cukup menyakinkan bagi penggunaan harian.
Stellantis Sedia Pemasangan EV di Gurun, Kedah
Yeo turut mendedahkan bahawa Stellantis akan memulakan pemasangan tempatan (CKD) model EV, Leapmotor di fasiliti Gurun, Kedah menjelang hujung tahun ini.
Selain itu, Stellantis juga memperkukuh:
- Perkhidmatan selepas jualan menerusi rangkaian Eurorepar
- Hab alat ganti serantai di Malaysia untuk memastikan kos penyelenggaraan lebih rendah
- Menyediakan peluang pekerjaan dan pemindahan kemahiran kepada tenaga kerja tempatan.
Insentif Tidak Boleh Kekal Selama-Lamanya
Yeo menegaskan bahawa sebarang lanjutan insentif EV mestilah dilaksanakan secara berdisiplin dan telus, dengan kaitan jelas kepada pencapaian industri.
Sekiranya kerajaan tidak melanjutkan insentif, ia seharusnya dilihat sebagai evolusi semula jadi perjalanan EV negara, bukan langkah ke belakang.”
Menurutnya, setiap fasa insentif perlu memberi manfaat ketara kepada pengguna sambil memperkukuh daya saing industri Malaysia di peringkat serantau.
Impak Belanjawan 2025
Sebagai rekod, Belanjawan 2025 sudah memperkenalkan langkah merancakkan penggunaan EV, termasuk:
- Pengecualian penuh duti import dan eksais bagi EV CBU hingga 31 Disember 2025
- Pengecualian duit import, eksais dan cukai jualan bagi EV CKD hingga 31 Disember 2027
- Pelepasan cukai individu hingga RM2,500 untuk pemasangan pengecas rumah (hingga tahun taksiran 2027)
- Rebat sehingga RM2,400 bagi motosikal elektrik CKD
- Insentif cukai pelaburan untuk operator dan pengeluar peralatan pengecas EV
SUMBER: BeritaHarian
Leave a Reply