JIKA dalam kelas utama Kejuaraan Rali Dunia (WRC), jentera Toyota, Hyundai, dan Ford saling bersaing sengit merebut podium, manakala dalam kategori WRC2, Skoda Fabia RS Rally2 pula muncul sebagai bintang utama dengan rekod cemerlang sejak tiga musim lalu.
Dengan lebih 600 podium dan ratusan unit terjual seluruh dunia, jentera Rally2 dari Mladá Boleslav ini terus menjadi pencabar utama dalam WRC2, Kejuaraan Rali Eropah FIA, da pelbagai kejuaraan benua dan kebangsaan.
Bukan saja kereta jalanan, jentera lumba turut diberi perhatian untuk terus dipertingkat.
Kini, satu pakej lengkap peningkatan prestasi, dikenali sebagai Packet 25 menerima homologasi Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dan akan tersedia untuk pembeli baharu serta pemilik Fabia RS Rally2 sedia ada.
Sejak pengenalan kategori Rally2, yang sebelum ini dikenali sebagai R5, Skoda Motorsport sudah mendominasi kelas ini dalam WRC.
Rekod kejayaan tersebut menjadikan Fabia RS Rally2 sebagai pilihan utama pasukan rali, dengan lebih 150 unit terjual sejak 2022.
Pemandu dan pemandu arah yang menggunakan Fabia RS Rally2 sudah meraih kejuaraan peringkat dunia dan dalam pelbagai siri serantau dan kebangsaan, sekli gus membuktikan keunggulan jentera ini di medan perlumbaan.
Sejak menerima homologasi pada 1 September 2022, Skoda Motorsport terus mempertingkat Fabia RS Rally2 bagi memastikan jentera ini kekal kompetitif.
Program naik taraf Packet 25 menumpukan kepada peningkatan prestasi, ketahanan, dan keselesaan pasangan pelumba serta pemandu arah.
Skoda Motorsport bukan saja menggunakan pengalaman sendiri, tetapi juga mengambil kira maklum balas daripada 12 pelumba rali, yang sudah menguji komponen baharu ini sejauh lebih 4,000km dalam situasi mencabar.
Skoda Fabia RS Rally2 dengan Packet 25:
1. Peningkatan Komponen Enjin
- Direka untuk meningkatkan ciri termodinamik trenkuasa.
- Sistem ekzos dipertingkat untuk mengoptimum aliran gas ekzos, meningkatkan penyediaan campuran bahan api dan pembakaran.
- Manifold ekzos baharu yang dioptimum mengurangkan tenaga yang diperlukan untuk pertukaran gas dalam silinder sebanyak 27 peratus.
- Pengubahsuaian lain pada sistem ekzos membantu mengurangkan berat.
- Digabungkan dengan perisian pengurusan enjin (EMS) baharu bagi meningkatkan hantaran kuasa ke roda dan menghasilkan bunyi enjin lebih garang.
2. Sistem Suspensi dan Ketahanan
- Absorber gravel baharu untuk menahan beban lebih tinggi dan meningkatkan ketahanan dalam rali mencabar.
- Pengubahsuaian pada takungan absorber (reservoir) dan komponen dalaman, termasuk pengedap (seal), tanpa menambah berat.
- Perlindungan bahagian belakang dipertingkat bagi memanjangkan jangka hayat:
- Sarung aci pacu (driveshaft)
- Kaliper brek
- Hos penyejuk brek
- Pengedap uniball suspensi baharu memanjangkan jangka hayat uniball dan mengurangkan kos penyelenggaraan.
3. Peningkatan Keselesaan & Ergonomik
- Lubang bumbung (roof vent) direka semula untuk meningkatkan aliran udara ke dalam kabin, menambah baik penapisan udara, dan menghalang kemasukan air ke dalam kokpit.
- Kerusi lumba baharu yang lebih ringan kira-kira 2kg setiap satu membantu merendahkan pusat graviti (CoG) kereta.
Peningkatan dalam Packet 25 menjadikan Skoda Fabia RS Rally2 lebih berprestasi tinggi, tahan lasak, dan selesa untuk pasukan rali bertanding di peringkat tertinggi.
Leave a Reply