ADA netizen kata walaupun harga minyak negara jiran kita mahal, tapi harga kereta mereka murah. Benarkah?
Artikel kali ini kami mahu berkongsi harga kereta di negara jiran Asean. Kami memilih Honda City sebagai perbandingan memandangkan model itu memiliki status sebagai sedan segmen-B paling popular (dalam kategori kereta bukan nasional) di Malaysia. Malah majoriti negara Asean turut menawarkan model Honda ini.
Harga kereta pula diambil terus daripada laman web rasmi Honda di negara masing-masing, termasuk Malaysia. Berikut senarai harga sedan subkompak itu:
- Singapura: Honda City SV 1.5L DOHC i-VTEC; S$140,399 (RM497,640).
- Indonesia: Honda City 1.5L DOHC i-VTEC; Rp402 juta (RM122,260).
- Vietnam: Honda City G 1.5L DOHC i-VTEC; 559 juta dong, termasuk cukai VAT (RM108,060).
- Brunei: Honda City 1.5 RS (bukan hibrid); B$29,990 (RM106,260).
- Filipina: Honda City 1.5L DOHC i-VTEC; 1.073 juta peso (RM91,030).
- Malaysia: Honda City 1.5L S: RM84,900.
- Thailand: Honda City V 1.0L DOHC VTEC TURBO; 629,000 baht (RM83,620).
- Laos: Honda City V 1.5L DOHC i-VTEC; tiada maklumat harga.
- Burma: Tiada data kereta Honda dijual di sana.
Namun, perbandingan di atas mungkin tidak tepat atau adil sebetulnya, kerana negara seperti Vietnam memasukkan sekali harga asas dengan cukai barangan (VAT/GST). Namun negara lain, termasuk Malaysia mengecualikan harga asas dengan cukai.
Harga disenaraikan juga tidak termasuk cukai lain (jika ada), termasuk insurans dan jangan pula dilupakan terma pembiayaan yang pastinya berbeza mengikut negara. Malah pasaran setiap negara juga berbeza mengikut permintaan, persaingan, dan demografik pembeli.
Itu belum diambil kira pendapatan per kapita rakyat dan pariti kuasa beli. Namun, artikel ini sekurang-kurangnya dapat menjawab dan memberikan maklumat kasar mengenai harga kereta di negara Asean.
Soalannya, adakah harga kereta di negara kita terlampau mahal, atau berada pada kadar kompetitif di pasaran Asean? Ataupun boleh dikelaskan sebagai murah?
Apa yang pasti, membeli kereta memang memerlukan komitmen kewangan. Kalau ditanya rakyat mana-mana negara pun, mereka pasti akan jawab harga kereta di negara mereka tidak murah.
Tepuk dada tanya selera!
NOTA:
* Model dipilih ialah varian asas Honda City baharu dengan enjin 1.5L i-VTEC, transmisi CVT dan ciri Honda SENSING.
* Thailand cuma menawarkan varian City dengan enjin 1.0L VTEC Turbo yang menawarkan output kuasa lebih kurang sama.
* Harga ditukar terus daripada mata wang negara Asean ke Ringgit Malaysia, dan dibundarkan kepada perpuluhan terdekat, tanpa sen.
* Model ditunjukkan bukan varian sebenar, tapi varian RS dengan enjin hibrid e-HEV di Malaysia.
Alson P says
Murah....!
Boleh selaraskan harga Sama dengan Indonesia
😝😝😝