ERA 90-an boleh dianggap sebagai 'pop culture' dalam dunia motosikal Malaysia yang membentuk trend dan stail tersendiri di kalangan mat motor negara ini. Harus diakui tercetusnya budaya popular itu banyak dipengaruhi impak penganjuran siri Kejuaraan Cub Prix Malaysia pada 1994.
Ramai mat motor mahukan motosikal mereka memiliki penampilan seperti jentera cub prix yang pastinya tidak sah untuk tunggangan jalanan. Namun, ada beberapa karakter cub prix (semestinya sah piawaian abang JPJ) yang diadaptasi mat motor 90-an dan kemudian menjadi trend tersohor seluruh negara.
1. GELAPKAN LAMPU BELAKANG
Rasanya trend paling bajet ini sudah pun pupus sekarang, tetapi pasti tetap dikenang mat motor 90-an. Dulu, harga pelekat gelap atau tinted bukan murah walaupun bersaiz kecil. Saiz pelekat tinted sekecil bentuk panel meter saja sudah berharga RM5-RM10. Saiz tinted lampu belakang pula perlu dikustom sendiri dan perlu dipotong secermat mungkin supaya tidak tersilap.
Jadi antara penyelesaian mudah ialah beli atau pinjam (baca: rembat) atuk punya pelita. Asap daripada pelita yang dinyalakan akan dilayurkan pada bahagian dalam lampu belakang. Nah, jelaga yang terbentuk daripada kepulan asap hitam pelita itu akan meninggalkan kesan tinted sehitam-hitamnya pada lampu belakang.
Kelemahannya pula, kesan hitam lampu belakang tinted pelita itu mungkin tidak sekata dan nampak bertompok apabila lampu dipasang. Kelebihannya, tidak perlu risau ditahan polis atau JPJ kerana kesan asap itu boleh ditanggalkan serta merta dan diulang buat semula.
Tidaklah kecewa sangat berbanding pelekat tinted yang dikoyak abang polis dan JPJ di depan mata. Ingat, pada masa itu, tindakan menggelapkan lampu belakang ialah kesalahan serius.
2. POTONG SEAT RATA
Trend ini asalnya bermula daripada scene drag kapcai. Pelana atau seat motor joki biasanya akan dipotong layang atau rata supaya senang beraksi Superman untuk mendapatkan kesan aerodinamik bagi memenangi sesuatu perlumbaan.
Pelumba cub prix turut memotong seat jentera mereka kerana posisi menunggang perlu menunduk, juga untuk kesan aerodinamik. Apabila menunduk, pelumba perlu mengubah posisi punggung ke belakang seat untuk mendapat postur tunggangan yang selesa.
Potong seat bagi mat motor 90-an berada dalam ranking paling atas sebagai modifikasi asas sebaik saja membeli motosikal (abah bayar). Jangan tidak tahu, populariti potong seat menyaksikan kewujudan beberapa bengkel khas yang menawarkan khidmat memotong seat mengikut cita rasa penunggang.
Pembalut akan dibuka, sebelum span atau kusyen seat dipotong dengan pisau panjang (seperti pisau roti). Jika tersilap potong, lebihan span tadi akan digam semula dan digosok dengan kertas pasir hingga mendapat bentuk seat idaman penunggang.
BACA >>> #RetroAuto: 'Seat Potong' Pernah Jadi Trend Ranking Atas Mat Motor 90-an!
Seat kemudian dibalut semula dengan pembalut asal yang dibuka. Sesetengah penunggang memilih pembalut seat baharu yang ditawarkan dalam pelbagai warna, material dan tekstur serta siap ada cop jenama, logo atau slogan tertentu.
Antara material pilihan ialah jenis PVC licin yang fungsinya membuatkan pembonceng (sudah tentu makwe) tergelincir rapat ke belakang badan ketika membrek. Bukan hanya kapcai, motor streetbike seperti RX-Z pun turut dipotongkan seat. Ranggi katanya.
3. RIM ALOI EMAS + SPOKE KROM
Rim aloi emas pernah jadi kegilaan mat motor 90-an di Malaysia. Seakan jadi kepuasan maksimum seandainya seseorang penunggang itu berjaya memasang rim aloi emas pada motosikalnya. Tidur akan jadi lebih lena dan hati akan sentiasa berbunga bahagia, manakala gaya tunggangan jadi mantap tiba-tiba.
Keseronokan meningkat berkali ganda apabila set rim yang dipasang, dipadukan pula dengan set jejari atau spoke krom berkilauan. Perghhh, memang punggung rasa panas semacam kalau sehari tidak keluar ride. Ada sesetengah penunggang menjadikan amalan menggilap rim dan spoke dengan Brasso sebagai rutin hujung minggu. Antara kelemahan spoke krom ialah kurang lasak dan mudah patah kalau tayar termasuk lubang jalan.
4. PELEKAT REFLEKTOR TEPI RIM
Inilah trend yang paling menepati ciri keselamatan jalan raya. Tidak diketahui entah dari mana trend ini muncul. Ramai mat motor 90-an biasanya akan memasang pelekat reflektor cahaya (kuning atau putih) pada tepi bingkai rim. Pelekat reflektor itu akan digunting kecil dalam ukuran lebih kurang 10sm. Ada sesetengah penunggang akan melekatkan reflektor sekeliling bingkai rim, tetapi gaya begitu kurang digemari dan kerap mengundang cemuhan serta dianggap try hard.
Kesannya? Apabila motosikal disuluh lampu kenderaan lain pada malam hari, reflektor yang dipasang akan memberikan efek pantulan cahaya yang berputaran mengikut golekan tayar. Selain nampak garang pada malam hari, trend ini juga mampu meningkatkat keyakinan menunggang.
Sesetengah mat motor turut memasang pelekat reflektor cahaya pada hab tayar, iaitu ruang di celahan antara spoket dan rim belakang. Efeknya juga sama seperti melekatkan pelekat pada rim.
5. STICKER SONIC, VR46 DAN AKU HIDUP DALAM BLUES
Sebenarnya ada banyak pelekat yang jadi trend mat motor 90-an, tetapi tiga pelekat ini antara paling popular. Lokasi pelekat semestinya pada helmet, dan ada juga dilekatkan pada fairing motosikal.
Kartun Sonic popular sebagai simbol kelajuan, manakala pelekat VR46 popular susulan kehebatan Valentino Rossi sebagai bintang muda yang menyinar di arena GP500 dan MotoGP. Imej nakal, gila-gila dan rambut megi menjadi pujaan ramai mat motor Malaysia ketika itu hinggakan pelekat legenda hidup tersebut bukan saja ditampal peminat Yamaha, tetapi juga pemilik motosikal jenama lain.
Akhir sekali pelekat 'Aku Hidup Dalam Blues' diambil daripada watak siri kartun dalam majalah Ujang karya kartunis Aie. Pelekat ini dilihat sebagai trend cool dalam kalangan mat motor yang sering disalah anggap sebagai mat rempit tak ada masa depan. Ia juga menjadi simbol penyataan, 'rempit tu rempit juga tapi dalam hati ada taman'. Keras di luar, lembut di dalam. Pehhh...
6. PASANG SPROCKET EMAS
Warna emas di sini bukanlah jenis emas berkilat, tetapi kusam. Tidak tahulah kenapa mat motor 90-an minat sangat dengan warna tersebut. Selain rim emas, spoket emas juga pernah menjadi aksesori pilihan. Hati jadi sangat puas kalau dapat dikombokan pula bersama rim emas. Ada juga yang tampil lebih radikal dengan rantai pun dipilih warna emas juga.
Di sinilah muncul lawak hadiahkan makwe dengan rantai emas yang diambil daripada rantai motosikal. Emas juga apa? Besar dan berat pula tu. 😂
7. TUANG MINYAK 2T WANGI
Siapa pernah tunggang motosikal 2-lejang tentu faham benar dengan masalah bau 2T yang menyengat hidung. Lebih terseksa kalau kita yang membonceng di belakang. Di sinilah muncul trend minyak 2T wangi. Walaupun tidaklah seharum minyak wangi, tetapi sekurang-kurangnya aroma yang terhasil masih sedap dihidu.
Namun, semua itu tidaklah dapat menghalang tempias minyak yang terpercik dari corong ekzos dan mengotorkan baju.
8. SIDE MIRROR SEBELAH, BOLEH LIPAT
Motosikal yang ada set lengkap cermin sisi di kiri dan kanan dianggap sebagai tidak cool dan skema. Jadi rata-rata mat motor 90-an akan menanggalkan cermin sisi sebelah kiri, manakala sebelah kanan dipasangkan jenis kecil. Ada yang tanggal saja kedua-duanya, tetapi kalau terjumpa polis, barulah bercucuran air mata.
Sesetengah cermin sisi langsung tidak fungsional kerana terlalu pendek dan kontot, sekadar cukup syarat supaya tidak ditahan abang polis atau sangkut roadblock.
Di sinilah muncul aksesori cermin sisi boleh lipat yang mana penunggang boleh menyorokkan komponen itu tanpa perlu menanggalkannya, dan dibukakan apabila perlu. Sedarilah, itu semua perbuatan yang sia-sia kerana cermin sisi sebenarnya direka untuk keselamatan penunggang.
9. NOMBOR PLAT RIVET/BESI
Nombor plat besi atau rivet (disebut 'ribet', 'rebet') juga cukup popular suatu masa dulu kerana nampak jahat dan berjiwa rempit. Plat jenis ini biasanya lebih mahal berbanding plat vinil jenis gam.
Plat besi juga mengambil masa sedikit lama untuk disiapkan. Jika pilih jenis besi, nombor akan ditekapkan terus pada plat besi. Jenis rivet pula menggunakan nombor besi berasingan yang akan dirivetkan atas plat besi.
Berbanding plat standard yang kelihatan rapi dan terletak elok, sebaliknya plat besi nampak kasar, tidak rata dan comot. Inilah disukai mat motor 90-an kerana ada elemen 'art' ala buatan tangan (handmade). Plat besi lebih lasak dan tidak patah, biasanya bengkok dan kemek, tetapi masih boleh digunakan.
Plat besi juga mesra sekatan polis kerana menggunakan jarak dan saiz standard nombor pendaftaran spesifikasi JPJ. Cuma kilauan besi yang terlalu berkilat berisiko menyebabkan dikenakan kompaun.
10. HELMET APOLLO + MASKING TAPE
Ini antara helmet popular dalam kalangan mat motor 90-an. Kenapa popular? Sebabnya, helmet ini murah dan ringan. Jadi tidaklah perlu risau sangat hendak sangkut pada cangkuk motosikal atau beri kawan pinjam. Berat ringan juga memudahkan helmet ini dicapai, disarungkan dan ditanggalkan daripada kepala.
Walaupun murah, tetapi helmet ini sebenarnya memiliki cop SIRIM yang bermakna selamat digunakan atas jalan. Namun, jauh dalam lubuk hati penunggang menganggap helmet ini tidak berapa selamat dipakai kerana longgar dan nipis. Sesetengah orang tersilap pakai terbalik sebab keliru mana satu bahagian leher dan muka.
Selain ditempek pelbagai pelekat trendy, mat motor 90-an juga menampal pita masking (masking tape) pada bahagian topi atau cap helmet. Ini kerana skru pada bahagian tersebut mudah tertanggal dan rosak, lebih-lebih lagi selepas dipasangkan visor muka (semestinya jenama Bogo jadi pilihan).
Hinggakan helmet Apollo dan pita masking menjadi trademark atau signature kepada si pemakai walaupun cap asal masih elok. Maknanya, kalau pakai Apollo tapi tak ada pita masking, kau belum cukup cool.
Ada banyak lagi trend mat motor 90-an yang ada, tetapi cukuplah kami senaraikan 10 saja. Jika anda ada trend, mungkin boleh kongsikan dengan kami dan pembaca lain di ruang komen. 😊
Leave a Reply