Close Menu
PanduLaju.com.my
  • Auto Terkini
  • Roda4
  • Roda2
  • Pandu Uji
  • Bikin Auto
  • Autotainment
  • Sembang Deras
  • Aksesori
  • PR NEWSWIRE
Facebook Instagram YouTube TikTok Threads
  • UTAMA
  • EDITORIAL
  • PENGIKLANAN
  • HUBUNGI KAMI
TikTok YouTube Facebook Instagram Threads
PanduLaju.com.myPanduLaju.com.my
  • Auto Terkini
  • Roda4
  • Roda2
  • Pandu Uji
  • Bikin Auto
  • Autotainment
  • Sembang Deras
  • Aksesori
  • PR NEWSWIRE
PanduLaju.com.my
Home»Auto Terkini»RENCANA KHAS: Wajarkan PUSPAKOM Disalahkan?
Auto Terkini

RENCANA KHAS: Wajarkan PUSPAKOM Disalahkan?

Admin PanduLajuBy Admin PanduLaju06/01/20171 Comment
Share
Facebook Twitter Telegram Threads

genting3NAHAS jalan raya bukanlah insiden pelik yang berlaku di Malaysia. Bukalah akhbar semalam, hari ini, atau esok, pasti ada saja berita kemalangan dilaporkan. Mengharap sehari tanpa cerita kemalangan mungkin sesuatu perkara yang luar biasa.

Berdasarkan indeks kematian jalan raya 2013 dalam laman web Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), sebanyak 23.1 orang maut bagi setiap 100,000 penduduk Malaysia. Ini bermakna negara kehilangan 231 warga bagi setiap 1 juta penduduk.

Jika mengambil kira jumlah populasi rakyat Malaysia sebanyak 28 juta orang, negara ini mencatatkan jumlah kematian akibat nahas jalan raya mencecah lebih 6,000 orang setahun, menyamai angka kematian setahun yang direkodkan di Afghanistan ketika Amerika Syarikat (AS) melancarkan kempen Perang Menentang Keganasan ke atas negara itu.

Lebih tragis apabila kemalangan yang berlaku membabitkan kenderaan pengangkutan awam seperti bas. Paling diingati sudah tentu insiden Ogos tahun lalu apabila sebuah bas terbabit kemalangan di Kilometer 3.6 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur yang mengorbankan 37 mangsa dan 16 cedera.

Rentetan insiden berkenaan, masing-masing saling menyalahkan. Selain syarikat pengusaha bas, agensi pemeriksaan kenderaan lantikan Kerajaan, Puspakom antara paling teruk menerima tempias kecaman dan kritikan.

Rasuah, sogokan, ketidakcekapan dan cuai antara kritikan yang pantas dilemparkan.

Malah, modal politik turut digunakan yang mengaitkan Puspakom dengan isu monopoli perkhidmatan dan cubaan mengaut keuntungan hingga timbul desakan supaya peranan agensi itu diliberalisasikan.

Persoalannya, apakah jika Puspakom diliberalisasikan dengan mewujudkan lebih banyak syarikat pemeriksaan kenderaan seumpamanya, maka tahap mutu perkhidmatan terjamin? Apakah ada jaminan bahawa agensi selain Puspakom bebas 100 peratus daripada perlakuan rasuah, sogokan, ketidakcekapan dan kecuaian?

Ambil contoh kewujudan puluhan pengusaha bas ekspres yang beroperasi dalam negara. Tanyalah pengalaman warga kota menaiki bas pulang ke kampung sempena musim perayaan. Anda pasti terima jawapan bercampur-campur antara suka dan duka. Menaiki bas ekspres di Malaysia seperti bertaruh nasib. Anda beruntung kalau dapat bas yang bagus, tapi redha sajalah jika bas yang dinaiki mengundang seribu satu pengalaman ngeri.

Apakah persaingan daripada liberalisasi perkhidmatan bas ekspres membuatkan kualiti perkhidmatan meningkat? Apakah persaingan menyebabkan harga tambang bas menurun dan bagaimana pula kualiti servis yang ditawarkan kepada pelanggan? Bukankah situasi sama boleh berlaku jika peranan Puspakom diliberalisasikan?

trans2INTEGRITI SEMUA PIHAK

Justeru isu utama di sini ialah soal integriti yang bukan hanya perlu dititikberatkan Puspakom dan pihak kerajaan, tetapi juga pengusaha bas. Menyalahkan integriti sebelah pihak saja jelas menunjukkan ketempangan analisis dalam usaha mencari punca dan penyelesaian sesuatu insiden.

Puspakom ialah satu-satunya agensi yang bertanggungjawab mengawal selia urusan pemeriksaan kenderaan awam dan perdagangan, termasuk persendirian. Dalam erti kata lain, Puspakom adalah agensi pertama perlu dilepasi untuk mendapatkan ‘lesen besar’ yang membolehkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan cukai jalan atau meluluskan urusan memindah milik kenderaan tanpa banyak soal.

Malah, kelulusan Puspakom dapat meyakinkan pihak bank untuk menawarkan pinjaman sewa beli dan mampu melindungi pengguna daripada tertipu, ikuti laporan disediakan.

Namun, tragedi bas ekspres di Jalan Genting tahun lalu yang menyatakan kegagalan fungsi brek sebagai antara punca kemalangan maut tersebut mencetuskan polemik mengenai integriti Puspakom. Bagaimana sesebuah kenderaan yang jelas tidak menepati standard keselamatan dibenarkan bergerak atas jalan raya? Apakah Puspakom cuai dan tidak cekap? Atau disogok?

Tindakan menyalahkan Puspakom semata-mata seakan tidak wajar kerana pemeriksaan berkala mandatori yang disyaratkan ke atas kenderaan komersial ialah setiap enam bulan sekali. Jadi, wujud sela masa sepanjang tempoh berkenaan yang jelas di luar bidang kuasa Puspakom.

Di sini, pemilik dan pengusaha menggalas tanggungjawab penuh melakukan penyenggaraan berkala ke atas kenderaan mereka sendiri. Apatah lagi jika kenderaan digunakan secara rutin yang kerap. Apakah tempoh penyenggaraan dipatuhi? Apakah alat ganti dan sistem bendalir digunakan berkualiti dan selamat?

pic_pandulajudotcomMalah, penguatkuasaan JPJ ke atas kenderaan komersial juga terbatas disebabkan penggunaan teknologi moden masa kini dengan rangkaian sesama pengusaha kenderaan yang membolehkan operasi sekatan jalan raya dipantau, sekali gus dielakkan.

Agaknya, kita mungkin berasa lega jika semua kenderaan komersial diwajibkan menjalani pemeriksaan berkala di Puspakom setiap bulan dan JPJ pula melakukan sekatan jalan raya setiap hari di setiap pelusuk jalan raya negara. Itupun jika kita tidak kisah dengan kesesakan lalu lintas disebabkan sekatan demi sekatan yang dilakukan.

Justeru, bukankah soal integriti paling utama dalam isu ini bukan terletak terhadap Puspakom sahaja, tetapi juga terbeban ke atas pemilik dan pengusaha kenderaan itu sendiri?

Lebih mendukacitakan, kita sendiri sedia maklum mengenai kewujudan beberapa premis perniagaan dan bengkel yang menawarkan sewa cermin tanpa filem gelap dan menukar tayar standard untuk digunakan ketika pemeriksaan kenderaan di Puspakom.

pic 000_pandulajudotcomSelepas kenderaan diluluskan, segala aksesori palsu itu dipulangkan semula dan digantikan barangan asal yang tidak mengikuti tetapan ciri keselamatan. Apabila berlaku kemalangan, senang-senang pula kita menyalahkanPuspakom dan pihak berkuasa. Menyedihkan.

Kalau tidak percaya, datanglah ke pusat pemeriksaan Puspakom. Anda akan lihat deretan kenderaan komersial beratur diperiksa bersama penampilan serba bersih dengan tayar dan badan berkilat.

Peliknya, di atas jalan raya, jarang sekali kita dapat melihat lori-lori berkilat seperti itu. Malah, melihat lampu signal pun susah kerana ditutup debu tebal. Timbul pula persoalan, apakah semua kenderaan itu dicuci dua kali setahun sahaja, iaitu ketika mahu menjalani pemeriksaan Puspakom?

mobile1_pandulajudotcomJANGAN DIPOLITIKKAN PERANAN PUSPAKOM

Monopoli bukanlah isu yang patut dipolitikkan kerana fungsi Puspakom masih terletak di bawah dasar Kerajaan. Malah, sepanjang 20 tahun beroperasi, cuma sekali sahaja fi pemeriksaan dinaikkan sehingga kini. Malah, aspek pemeriksaan tidak boleh dibuat, diabaikan atau dikurangkan sesuka hati.

Pemeriksaan rutin kenderaan dicaj di bawah RM100. Misalnya, bas dikenakan fi sebanyak RM55, termasuk lori di bawah 6,000 kilogram. Masalah timbul dengan kemunculan orang tengah atau ‘runner’ yang dibayar hingga RM300 untuk membawa kenderaan diperiksa di Puspakom.

Lebih menyakitkan hati, ada berlaku banyak kes ‘runner’ meminta caj ekstra sehingga RM200 daripada pemilik kereta untuk dibayar kepada pegawai pemeriksa Puspakom dengan alasan kenderaan mereka ditahan atau gagal dalam pemeriksaan seperti cermin gelap.

Si lintah darat itu kemudian akan cuba menakutkan pemilik kereta bahawa cermin gelap mereka-terutama yang berharga ribuan ringgit-akan dikoyak dan ditanggalkan. Jadi, tanpa berfikir panjang, terus saja si pemilik membayar caj ekstra kepada runner, walhal cermin gelap kereta mereka sudah pun melepasi ujian Puspakom!

Natijahnya, nama Puspakom juga diburukkan!

puspakomKEMAS KINI KECEKAPAN

Mungkin ada yang mendesak Kerajaan supaya mensyaratkan hanya pemilik dibenarkan menghantar kenderaan diperiksa. Namun, jika benar-benar dikuatkuasakan, tindakan tersebut cuma mengundang masalah.

Bayangkan seorang pemilik mendaftar nama lebih daripada satu kenderaan, apakah dia perlu berulang alik membawa semua kenderaannya diperiksa?

Bagaimana pula jika pemilik itu tinggal di luar negara atau tiada masa akibat kekangan kerja? Ini termasuk kenderaan yang didaftarkan atas nama syarikat yang sudah tentu tiada pemilik tunggalnya.

Namun, segala usaha baik dilakukan mestilah seiring dengan sikap integriti tinggi yang bukan sahaja di pihak Puspakom, tetapi juga pemilik dan pengusaha, termasuk orang tengah yang terbabit dalam urusan pemeriksaan keselamatan kenderaan.

Tiada guna saling menyalahkan dan kita rakyat Malaysia seharusnya bertanggungjawab dalam memastikan statistik kemalangan jiwa akibat nahas jalan raya dikurangkan. Inilah komitmen kita.

Kita harus memberi pertimbangan kepada objektif asal pemeriksaan itu sendiri. Ianya adalah untuk memastikan setiap kenderaan komersial dan awam yang menggunakan jalanraya berada di tahap penyenggaraan yang sempurna.

Secara tidak langsung, kadar kemalangan jalanraya akibat kenderaan dalam keadaan tidak terurus akan berkurangan. Sekiranya kita ingin menipu semata-mata untuk lulus pemeriksaan, maka objektif keselamatan itu dengan sendirinya dibelakangkan dan lenyap sama sekali. Tepuk dada, tanya selera!

Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Kejadian kemalangan bas di Genting Highland Perkhidmatan Runner Puspakom Pusat Pemeriksaan Puspakom Salahkah Puspakom Wajarkah Puspakom disalahkan
Admin PanduLaju

Artikel Berkaitan

Auto Terkini

Triumph Speed Twin 1200 Cafe Racer Edition, 800 Untuk Dunia, Masuk ke Malaysia?

27/01/2026
Denza D9 2025
Kenderaan Elektrik (EV)

MPV EV Mewah Denza D9 2025 Kini Fasa Akhir Jualan Sebelum Harga Naik

27/01/2026
MOT perkenal geran untuk menggantikan kereta lama lebih 20 tahun
Auto Terkini

MOT Lancar Geran Ganti Kereta Lama dengan Baharu, Peruntukan RM10 Juta!

27/01/2026
Auto Terkini

Nissan Ariya Concept Dengan Kuasa Solar, Jarak Bertambah Sehingga 23 km!

27/01/2026
Leave A Reply Cancel Reply

  • Facebook 397K
  • Instagram 194K
  • YouTube 589K
  • TikTok 992K
  • Threads
Pilihan Ramai Minggu Ini
Slip Lesen Kenderaan Motor (LKM) @ Road Tax
Auto Terkini

JPJ Henti Keluar Slip LKM (Road Tax) Bercetak Kenderaan Persendirian 1 Februari Ini

By Syafie26/01/2026
Pemegang lesen memandu yang tamat tiga tahun tidak layak mendapat subsidi RON95
Auto Terkini

Tiada Lagi Bukti Perjalanan Luar Negara untuk Lesen Memandu Fizikal, Caj RM20

By Syafie23/01/2026
Jamil Manan Supri | Pengasas dan Penasihat Keselamatan Jalan Raya serta Sukan Permotoran, Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (PPKJR),
Auto Terkini

Pakar: ‘Lane Hogger’ Punca Jalan Sesak, Boleh Kena Denda RM2,000

By Syafie26/01/2026
Warga asing bawa lori sampah
Auto Terkini

JPJ Tak Halang Warga Asing Bawa Lori Sampah Kalau…

By Syafie21/01/2026
Modenas Spider Ace 115 Tiga Roda
Roda2

Modenas Spider Ace 115: daripada Kapcai Standard Jadi Tiga Roda

By Syafie19/01/20261
Lepas L8
Roda4

Lepas Umum Perluas Rangkaian di Malaysia, Debut Separuh Pertama 2026

By Syafie23/01/2026
Yamaha NMAX 155 ABS 2025 | Japan
Roda2

Yamaha NMAX 155 ABS 2026 Perkenal Warna Baharu untuk Jepun!

By Abang Hirata20/01/2026
Yamaha NMAX ABS 2026 | Malaysia
Roda2

Yamaha NMAX ABS 2026 Tampil Dua Warna Baharu, Harga Kekal RM11,498

By Syafie26/01/2026
PanduLaju.com.my
TikTok YouTube Facebook Instagram Threads
  • Auto Terkini
  • Roda4
  • Roda2
  • Pandu Uji
  • Bikin Auto
  • Autotainment
  • Sembang Deras
  • Aksesori
  • PR NEWSWIRE
© 2026 PanduLaju.com.my · GYL Media Services Sdn Bhd (1257406-V)

Type above and press Enter to search. Press Esc to cancel.