APAKAH perbezaan dalaman antara Proton Saga (2016) dan Saga FLX? Artikel kali ini akan memperincikan secara satu lawan satu mengenai dua model generasi berbeza itu supaya kita dapat menilai apakah penambahbaikan yang dilakukan Proton.
Perbandingan model membabitkan varian Proton Saga Premium (dilancarkan beberapa minggu lalu) dan Saga FLX daripada generasi sebelumnya (generasi ke-2). Sebagai makluman, kedua-dua varian itu ialah model paling premium dalam generasi masing-masing.
BACA >>> Inilah Rupa Paras Proton Saga 2016 Pabila Malam Hari
Mari kita teliti perbezaan antara Proton Saga (2016) di sebelah kanan dan Saga FLX (kiri) di bawah ini:
1. PAPAN PEMUKA HARMONI
Fiil dalam kabin mungkin dirasakan sama kerana Saga (2016) dibina berasaskan platform BLM (Saga FLX) . Namun apabila ditelitikan, kita akan dapat mengesan perubahan total rekabentuk Saga baharu. Paling ketara ialah komposisi panel dan instrumen atas papan pemuka.
Rekabentuk papan pemuka Saga (2016) tampak lebih fokus dan straightforward dengan menumpukan kepada eksploitasi elemen bersegi atau petak dalam rekabentuk. Paling penting, segalanya diadun lebih harmoni dan kemas.
2. STERENG ELEGAN
Jika stereng Saga FLX nampak agak murahan, stereng Saga (2016) pula lebih elegan. Terima kasih kepada lambang Proton yang bukan saja khas buat varian Premium saja, tetapi juga semua varian. Walaupun diambil daripada model Preve, penampilan stereng Saga (2016) nampak kena dengan rekabentuk baharu papan pemuka. Lekukan roda stereng berserta tengah stereng yang bersegi dan digemukkan berjaya menghilangkan visual bulat dan flat seperti dilihat pada Saga FLX.
3. PANEL UTAMA DIPERKEMAS
Komposisi panel utama Saga (2016) lebih teratur dengan reka letak disusun rapi, kemas dan teliti membabitkan keseluruhan instrumen yang bergayut padanya. Ventilator Saga FLX yang bulat (mungkin terpengaruh reputasi Perodua Myvi) nampak begitu kekok apabila disusuli set audio yang petak. Malah, ruang kosong di bahagian punat kawalan membuatkan keseluruhan kabin tampak loose dan tiada semangat. Sebaliknya, susunan dan rekaan Saga (2016) lebih kompak, teratur dan ada fiil!
4. PEMAIN AUDIO KOMPAK
Lihat saja gambar di atas. Walaupun ciri-ciri asas pemain audio kekal sama, tetapi susunan punat dan mainan tona warna memberikan kesan ambien berbeza. Saga (2016) lebih rapi dan kemas, kata orang putih nampak neat!
5. PUNAT PENYAMAN UDARA KEKAL
Punat dan mod kawalan penyaman udara tiada perubahan. Tiada tetapan ventilator misalnya untuk hembusan arah kaki sahaja, atau kaki dan depan. Ini bermakna, penyaman udara cuma sehala, terus keluar dari ventilator yang ada.
6. TOMBOL GEAR DIPERBAHARUI
Takah gear masih sama kerana mengekalkan kotak gear CVT yang digunakan pada generasi sebelumnya. Cuma suis SAT (transmisi semi-auto) tiada pada Saga (2016). Tombol gear juga diubah kepada material vinil kusam berbanding rekaan terdahulu - berkilat dan sedikit mengacau pandangan - manakala punat gear tidak lagi diletakkan atas tombol, tetapi disorokkan di depan. Penampilan gear Saga (2016) ialah contoh terbaik yang menunjukkan rupa 'berkilat' (striking) tidak semestinya menyerlahkan efek mewah dalam kabin.
7. PANEL METER LEBIH MINIMALIS
Tiada perubahan drastik dilakukan. Cuma frem pada meter Saga FLX dihilangkan untuk Saga (2016). Saiz dan fon Saga (2016) masih sama tanpa sebarang latar meter. Panel LCD untuk maklumat kenderaan (paras minyak, jarak dan tetapan perbatuan, waktu dan suhu enjin) turut dikekalkan. Saga (2016) juga lebih meriah dengan tambahan indikator baharu seperti kawalan stabiliti kenderaan (VSC), mod Eco dan kawalan traksi (TRC).
8. KAMERA UNDUR UNTUK KESELAMATAN
Tidak perlu dijelaskan lagi. Saga (2016) Premium menawarkan kamera undur pada cermin pandang belakang. Visual belakang kereta berserta garisan parkir akan terpampang sebaik sahaja anda memasukkan gear undur (R). Semestinya ini ciri paling eksklusif bagi sedan segmen-A.
9. RUANG PEMANDU SELESA
Tiada perubahan pada ruang duduk pemandu. Pelaras ketinggian dan penyandar belakang masih sama. Cuma peha pemandu Saga FLX lebih besar. Jangan terkeliru pula. 😛
10. BELAKANG LEBIH RUANG
Kedua-dua model memiliki ketinggian kira-kira 175sm. Tanpa mengubah posisi kerusi depan, ruang kelegaan kaki di kedua-dua tempat duduk belakang nyata mencukupi. Namun, kelebihan mungkin lebih berpihak kepada Saga (2016) menerusi rekaan semula kerusi depan yang 'dikorek' belakangnya. Ini memberikan lekuk dan lebih ruang kaki kira-kira 1-2 inci. Ketinggian bumbung mungkin jadi masalah buat si galah yang duduk di belakang.
11. LACI LEBIH KEMAS
Kapasiti kompartmen untuk laci penumpang (glove box) kekal sama. Apa yang berubah ialah rekabentuk, di mana rekaan Saga (2016) lebih rapi. Ruang kosong atau gap di celahan laci kini disorokkan dengan baik, sekali gus menyedapkan pandangan mata.
12. PENGECAS USB DI BELAKANG
Selain, kamera undur, pengecas USB belakang juga boleh dikatakan antara ciri terbaik dimiliki Saga (2016). Tidak perlu lagi mengacau orang depan yang mungkin juga sedang mengecas telefon pintar. Kini, tiada lagi alasan untuk tidak update Facebook!
13. KERUSI BELAKANG BOLEH LIPAT
Ini ciri tambahan baharu ditampilkan Saga (2016). Anda boleh melipat kerusi belakang seperti gambar kanan di atas untuk mendapatkan ruang muatan tambahan.
14. KUNCI DIKUSAMKAN, ELEGAN
Asas rupa masih juga sama. Perumah kunci baharu Saga 2016 dikusamkan berbanding Saga FLX yang berkilat. Kami memilih gaya kunci seperti Saga (2016), mungkin kerana material kunci lama nampak terlalu plastik. Tetapi alangkah bagus jika lencana Proton pada Saga FLX diletakkan juga untuk kunci Saga 2016. Anda suka yang mana satu?
15. REKAAN KONTEMPORARI
Pandangan di atas adalah antara sudut paling menarik dalam sesebuah kabin kereta. Walaupun perubahan rekabentuk dalaman tidak terlalu drastik, tetapi kita harus mengakui Proton sebenarnya sudah melakukan penambahbaikan yang lebih baik. Sekali lagi disebutkan, aspek rekabentuk harmoni yang dititik beratkan nyata mengubah suasana dalam kabin Saga (2016). Kesannya, kereta ini (walaupun cuma sedan segmen-A) mampu memberikan anda mood eksklusif dan mewah seperti yang dirasai pada barisan model segmen-B.
Bagi kami, rekabentuk dalaman Saga (2016) sepatutnya dijadikan garis panduan asas untuk model Saga akan datang supaya rekabentuk baharu kelak tidaklah tampil terlalu mengada-ngada, pelik atau bercita-cita besar! Asalkan harmoni, rekabentuk seminimalis mana pun akan tampak segak dan bergaya walaupun mungkin dituduh membosankan.
Buat pengkritik pula, anda sepatutnya lebih rasional dalam menilai persembahan dalaman Saga (2016). Agak pelik juga sesetengah kita mendambakan kualiti dalaman seperti sebuah sedan segmen-C dengan kereta berharga bajet seperti Saga (2016).
Apapun, Saga (2016) Ialah sedan rakyat Malaysia yang bukan main-main!
Silthice says
Cuma butang untuk , VSC off, pemanas cermin dan sebagainya lebih baik kalau diletakkan di atas ataupun bawah ventilator pendingin hawa untuk memudahkan capaian semasa memandu.
jongos says
Bukan saja rekaan dalaman 2016 perlu diambil sebagai benchmark, dimensi kereta juga seboleh mungkin dikekalkan. Saiz boot sekarang sedang-sedang elok, untuk sebuah keluarga kecil sudah memadai.. Secara peribadi tidak sanggup melihat Saga didugongkan, ditonggeng, dikontotkan bahagian hadapannya semata-mata mengejar persaingan 'boot siapa lagi besar'. Overall, terharu selepas test drive Saga baru, usaha terbaik setakat ini.
Sobri blm UTR3 says
Ada kah panel meter saga terbaru ini sme tapak dgn y ade pd saga blm?krn klu sme sy ingin modifikasi ia pd saga blm.milik sy.