
JENAMA kereta nasional, PROTON secara rasmi melancarkan S70 2026, evolusi terkini sedan yang diposisikan sebagai ‘Sedan Sportif Malaysia‘.
Sedan itu dibangunkan untuk memenuhi jangkaan golongan profesional muda dan keluarga moden yang mahukan keseimbangan antara prestasi, teknologi dan nilai pemilikan jangka panjang.
Berteraskan falsafah ‘Intelligence that Evolves’, Proton S70 2026 menampilkan penambahbaikan menyeluruh meliputi prestasi, ketersambungan, gaya dan keselamatan.
Sejak diperkenalkan, lebih 38,000 unit terjual, sekali gus membuktikan penerimaan kukuh dalam kalangan pembeli kereta pertama dan pelanggan yang mahu menaik taraf kenderaan.
Enjin Baharu, Lebih Berkuasa

Di bawah bonet, Proton S70 2026 dikuasakan enjin 1.5L i-GT turbo dengan 4-silinder yang dipadankan transmisi dual-klac (DCT) 7-kelajuan. Gabungan itu menghasilkan ooutput kuasa 181ps dan tork 290Nm, dengan pecutan 0 – 100kmj sepantas 7.5 saat.
Kecekapan bahan api pula mencatatkan 5.7 liter per 100km yang menjadi antara sistem pacuan paling seimbang dalam kelas.
Talaan baharu turut memastikan anjakan gear lebih lancar, respons lebih yakin dan kos operasi lebih rendah untuk kegunaan harian.
Talaan Casis, ESC Dipertingkat

Dibangunkan bersama rakan global Geely, sistem pacuan Proton S70 2026 menggunakan teknologi turbo inersia rendah dengan pengurangan geseran dan getaran bagi meningkatkan prestasi serta tahap NVH. Hasilnya, enjin terasa lebih halus tanpa mengorbankan kuasa.
Talaan ‘ride and handling’ daripada jurutera Proton, bersama perisian Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC) yang dipertingkat dan pilihan mod pemanduan, memberikan karakter stabil dan menyeronokkan sama ada di bandar atau lebuh raya.
Rekabentuk Luaran Lebih Sporti, Premium
Dari segi gaya, Proton S70 2026 menerima kemas kini rekaan lampu depan baharu, rim aloi 17 inci baharu dan lampu belakang LED bar penuh dengan efek cahaya berirama. Varian tertinggi turut menerima kit badan= baharu sebagai ciri standard.
Dalam kabin, tema hitam moden digabungkan material lebih halus, suis tingkap iluminasi dengan kemasan perak, dan sentuhan dalaman yang lebih berorientasi prestasi. Ruang kabin kekal luas dengan ergonomik dioptimum untuk keselesaan perjalanan jauh.
Apple CarPlay, Android Auto Wayarles

Aspek ketersambungan menjadi antara tarikan utama S70 2026 menerusi skrin infotainment terapung 12.3 inci resolusi Full HD. Ia kini menyokong Apple CarPlay® dan Android Auto™ tanpa wayar untuk integrasi telefon pintar lebih mudah.
Turut disertakan sistem arahan suara “Hi PROTON”, lima port USB termasuk Type-C, pengecas tanpa wayar serta sambungan data dalam kereta. Semua ini memastikan pemandu dan penumpang kekal terhubung sepanjang perjalanan.
ADAS Tahap 2 dengan 13 Ciri Keselamatan Pintar
Keselamatan dipertingkat menerusi Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Tahap 2 yang merangkumi 13 fungsi termasuk Autonomous Emergency Braking (AEB), Adaptive dan Intelligent Cruise Control (ACC & ICC), Lane Keep Assist (LKA) serta Lane Change Assist (LCA).
Selain itu, terdapat Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Intelligent High Beam Control (IHBC), kamera 360 darjah paparan 3D serta Tyre Pressure Monitoring System (TPMS). Gabungan sistem keselamatan aktif dan pasif ini menjadikan S70 sesuai untuk kegunaan keluarga.
Empat Varian, Harga Bermula RM73,800

PROTON S70 2026 ditawarkan dalam empat varian iaitu Executive, Premium, Flagship dan Flagship X. Harga atas jalan tanpa insurans bagi Semenanjung Malaysia bermula RM73,800 (Executive), RM79,800 (Premium), RM89,800 (Flagship) dan RM94,800 (Flagship X).
Bagi Malaysia Timur pula, harga bermula RM75,800 sehingga RM96,800 bergantung varian. Selepas rebat pelancaran RM5,000 untuk 2,000 pelanggan pertama yang mendaftar sebelum 31 Mac 2026, harga bermula serendah RM68,800.
Pakej Pro-Warranty, Pro-Connect, Tawaran Pelancaran
Setiap pembelian didatangkan dengan Pro-Warranty lima tahun tanpa had perbatuan serta enam kali servis buruh percuma. Pro-Connect pula menawarkan pakej data lima tahun dengan 2GB sebulan untuk akses ciri ketersambungan.
Turut tersedia Pro-Finance dengan pembiayaan sehingga sembilan tahun bermula dengan kadar 2.25% setahun, Pro-Xchange sokongan RM4,000 untuk pelupusan kenderaan lama, serta Pro-Shield yang merangkumi perlindungan bencana khas dan bantuan banjir sehingga RM2,000.
Sokongan Selepas Jualan Diperkukuh
Bagi meningkatkan pengalaman pemilikan, PROTON menawarkan Fast Service untuk penyelenggaraan asas berjadual dengan masa menunggu lebih singkat bagi pelanggan yang membuat tempahan awal.
Selain itu, 1-Day Service Delivery memastikan kenderaan disiapkan dalam tempoh 24 jam untuk kerja tertentu. Jika pembaikan melebihi tiga hari bekerja, pelanggan akan dibrikan kereta gantian serta satu servis percuma sekali sahaja termasuk alat ganti dan buruh.
Dengan pakej lengkap meliputi prestasi, teknologi, keselamatan serta sokongan selepas jualan, PROTON S70 2026 tampil sebagai pilihan menarik dalam sedan segmen C yang menekankan nilai, keyakinan dan pengalaman pemanduan menyeronokkan
































































