AUDI A3 mula dipertontonkan kepada umum di Shanghai tahun lalu kini sudah tiba ke pasaran Malaysia. Ditawarkan dengan dua pilihan enjin iaitu 1.4 TFSI dan 1.8 TFSI quattro, kedua-duanya dilengkapi versi pacuan semua roda.
Menerusi pengedarnya di Malaysia, Euromobil Sdn Bhd, A3 1.4L dijual pada harga RM179,900 dan 1.8L ditawarkan pada RM240,888. Kedua-dua harga berkenaan adalah tanpa insurans.
Bagi A3 1.4L TFSI, ia mampu menghasilkan kuasa 122 hp dan tork setinggi 200 Nm pada kitaran enjin 1,400 hingga 4,000 rpm. Penghantaran kuasa lancar dibantu dengan transmisi S tronic 7-kelajuan klac berkembar kering.
Sementara enjin bersesaran lebih tinggi memberikan kelebihan kuasa maksimum 180 hp tork 280 Nm pada 1,350 hingga 4,500 rpm. Padanan kotak gear S tronic 6-kelajuan klac berkembar basah memberikan kuasa penghantaran yang responsif.
Melihat keseluruhan rekabentuk, kedua-dua varian kelihatan hampir sama. Ia hanya dibezakan dengan lambang Quattro pada 1.8L dan reka bentuk roda 17 inci yang berbeza.
Kit standard termasuk kawalan pendingin hawa dwi-zon automatik, pengelap cermin dan lampu automatik, sistem start/stop automatik, kawalan pelayaran dan juga tujuh beg udara (termasuk beg udara lutut pemandu) berserta ciri ESP dan ISOFIX pada tempat duduk hadapan dan belakang.
Namun begitu, pihak Euromobil turut memperkenalkan pakej S line bagi 1.8L Quattro menerusi tawaran penambahan kit badan roda 18 inci, bumbung panorama, kerusi sport separuh Alcantara, garisan bumbung hitam dan stereng tiga jejari sport kemasan kulit dengan penambahan RM19,800.
Leave a Reply