
PRASARANA Malaysia Berhad (Prasarana) mencatat sejarah baharu apabila merekodkan jumlah perjalanan penumpang harian tertinggi sebanyak 1.63 juta pada 31 Disember 2025, sekali gus menjadi pencapaian terbaik sejak penubuhan syarikat itu.
Prasarana memaklumkan, purata jumlah perjalanan penumpang harian sepanjang 2025 turut meningkat sebanyak 11 peratus kepada 1.31 juta, berbanding 1.18 juta pada 2024.
Purata Penumpang Harian Meningkat 11 Peratus
Peningkatan itu mencerminkan tahap kebolehpercayaan operasi perkhidmatan rel dan bas yang semakin kukuh serta konsisten, sekali gus mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap pengangkutan awam.
Dari segi kebolehpercayaan operasi, Prasarana berjaya mengurangkan jumlah gangguan perkhidmatan rel kepada hanya 31 gangguan sepanjang 2025, berbanding 71 gangguan pada 2024, iaitu penambahbaikan sebanyak 56 peratus.
Prestasi memberangsangkan itu hasil inisiatif berterusan sejak 2021, seperti:
- Penyelenggaraan aset lebih sistematik dan proaktif
- Pengukuhan kecekapan operasi
- Penambahbaikan ketepatan masa perkhidmatan
Ini bagi memastikan perjalanan penumpang lebih lancar dan terancang.
Segmen Bas Terus Diperkasa
Bagi segmen bas, Rapid Bus mencatat peningkatan Tahap Ketersediaan Perkhidmatan (Level of Service, LOS) kepada 1,355 unit bas pada 2025, berbanding 1,165 unit bas pada tahun terdahulu.
Jumlah itu turut merangkumi pengembangan perkhidmatan Rapid On-Demand (ROD) yang dipertingkat sepanjang tahun lalu.
Pemodenan Armada Bas
Usaha pemodenan armada bas terus giat dilaksana:
- 310 unit bas diesel baharu diterima berperingkat sejak tahun lalu dan dijangka lengkap sepenuhnya menjelang Februari 2026
- 250 unit bas elektrik fasa pertama disasarkan untuk penghantaran awal Mac 2026, dengan keseluruhan perolehan dijangka selesai sepenuhnya menjelang Mac 2027
Langkah itu selari aspirasi kelestarian serta pengurangan pelepasan karbon dalam sektor pengangkutan awam.
Penambahbaikan Kemudahan Pengguna
Sepanjang 2025, Prasarana menyiapkan:
- 301 hentian bas baharu
- 16 laluan pejalan kaki
Selain itu, 43 hentian bas dan 17 laluan pejalan kaki masih dalam pembinaan bagi terus meningkatkan akses, keselesaan serta pengalaman pengguna pengangkutan awam.
Pendigitalan My50 Catat Sambutan Positif
Pendigitalan Pas Bulanan My50 (Digital Transit Pass - DTP) yang dilancarkan pada 1 Julai 2025 mencatat penerimaan memberangsangkan.
Pada Disember 2025, kadar penggunaan DTP mencapai 37 peratus daripada keseluruhan 254,329 pengguna pas bulanan My50.
Bagi tempoh Julai hingga Disember 2025, sebanyak 556,618 pas Digital My50 sudah dibeli secara kumulatif, membuktikan keyakinan pengguna terhadap sistem pentiketan digital yang semakin meningkat.
Aplikasi MyRapid Pulse Dipertingkat
Selaras dengan slogan 'Memajukan Mobiliti, Memperkaya Pengalaman', Prasarana turut memperkenalkan versi baharu aplikasi MyRapid Pulse pada 1 Mei 2025 dengan ciri lebih mesra pengguna.
Antara fungsi utama adalah:
- Jelajah Bandar, membantu pengguna mengenal pasti lokasi menarik di sekitar Lembah Klang
- Penjejakan bas masa nyata (real-time bus tracking)
Sehingga kini, aplikasi MyRapid Pulse sudah dimuat turun sebanyak 240,000 kali, dengan 96,000 pengguna aktif, manakala 34,426 pengguna aktif mingguan menggunakan fungsi penjejakan bas masa nyata.
Fokus 2026: Perkhidmatan Lebih Cekap, Saling Berhubung
Bagi 2026, Prasarana akan menumpukan kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih konsisten, selamat dan mesra pengguna merangkumi operasi rel dan bas di bawah jenama Rapid KL dan Rapid Penang.
Pengangkutan awam terus menjadi pilihan utama rakyat kerana mampu menjimatkan masa perjalanan serta mengurangkan kos perbelanjaan harian.
My50 Diteruskan, Lorong Bas Diperluas
Menerusi Belanjawan 2026, Kerajaan meneruskan subsidi pas perjalanan tanpa had My50, dengan purata 260,000 pengguna sebulan, di mana pengguna hanya membayar RM50 sebulan manakala baki RM100 disubsidi kerajaan.
Bagi meningkatkan kecekapan bas:
- Dua lorong bas baharu akan diperkenalkan di Jalan Ipoh dan Jalan Gombak bermula suku ketiga 2026
- Lorong bas sedia ada di Jalan Ampang akan dijadikan lorong kekal
RM5 juta untuk Hentian Bas Baharu
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), Kerajaan memperuntukkan RM5 juta bagi pembinaan 250 hentian bas baharu, melibatkan:
- 200 hentian bas di Lembah Klang
- 50 hentian bas di Pulau Pinang
Tren LRT Baharu Laluan Kelana Jaya
Kerajaan turut memperuntukkan RM1 bilion dalam Belanjawan 2026 bagi penggantian 26 unit tren LRT baharu di Laluan Kelana Jaya, laluan paling sibuk di Lembah Klang.
Set tren pertama dijangka diterima pada September 2028, dengan tujuan meningkatkan kecekapan operasi dan keselesaan penumpang.
Sasaran 40 Peratus Penggunaan Pengangkutan Awam
Prasarana menegaskan komitmennya untuk terus melaksanakan kempen dan inisiatif strategik bagi mencapai sasaran kerajaan iaitu 40 peratus kadar penggunaan pengangkutan awam di Lembah Klang menjelang 2030, seperti digariskan dalam Dasar Pengangkutan Negara.
SUMBER: FB RapidKL
Leave a Reply