
JENAMA supercar dari Jerman, Porsche sedang merancang memperkenalkan beberapa model perdana baharu yang akan diposisikan atas barisan model 911 dan Cayenne.
Perkara itu dibayangkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Porsche, Michael Leiters dalam sidang media tahunan pengeluar tersebut.
Langkah tersebut diambil ketika Porsche berdepan penurunan keuntungan operasi yang ketara tahun lalu. Justeru bagi memulihkan prestasi kewangan, Porsche kini menumpukan kepada model premium dengan margin keuntungan lebih tinggi.
Kami sedang menilai model dan derivatif baharu yang akan berada atas barisan model sport 2-pintu sedia ada dan Cayenne,” kata Leiters.
SUV Tiga Baris K1 Dijangka Model Perdana Baharu

Model yang bakal berada atas Cayenne dipercayai kenderaan utiliti sukan (SUV) tiga baris tempat duduk yang dikenali sebagai projek K1, yang pertama kali diumumkan Porsche pada 2022.
SUV itu dijangka menawarkan konfigurasi tiga baris tempat duduk dan akan hadir dalam pilihan enjin petrol dan hibrid plug-in (PHEV).
Asalnya, K1 dirancang sebagai model elektrik (EV) penuh, tetapi perubahan strategi pembangunan menyebabkan Porsche menambah pilihan trenkuasa konvensional.
Model tersebut dijangka dilancarkan sekitar hujung dekad ini, walaupun jadual asal pada 2027 mungkin berubah.
Pengganti 918 Spyder Mungkin Dibangunkan
Selain SUV baharu itu, Porsche juga dipercayai merancang model halo baharu yang akan berada atas barisan kereta sport 2-pintu. Model tersebut berpotensi menjadi pengganti hypercar 918 Spyder.
Beberapa petunjuk menunjukkan Porsche sedang menilai pelbagai teknologi enjin baharu, termasuk rekabentuk 6- lejang dan konsep enjin W18 tri‑turbo.
Walaupun teknologi tersebut masih belum disahkan untuk pengeluaran, ia memberi gambaran Porsche sedang meneroka pendekatan ekstrem bagi model prestasi tertinggi.
Jika direalisasi, model halo baharu itu bakal bersaing dengan kereta hiper generasi terkini daripada pesaing seperti Ferrari dan McLaren, sekali gus mengembalikan Porsche dalam segmen supercar paling eksklusif dunia.
SUMBER: CarAndDriver








