
JENAMA kereta ikonik, Porsche dilaporkan sedang mempertimbangkan langkah menyatukan dua model sedan mewahnya iaitu Taycan dan Panamera dalam satu barisan model baharu. Idea tersebut dikatakan datang daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu syarikat, Michael Leiters yang mahu mengurangkan kos pembangunan ketika pengeluar Jerman itu berdepan cabaran jualan global.
Langkah itu dilihat sebahagian strategi penjimatan kerana Porsche kini perlu menampung kos pembangunan pelbagai model baharu pada masa sama. Penyatuan dua model tersebut berpotensi membolehkan lebih banyak perkongsian komponen dan platform berbanding mengekalkan dua model berasingan seperti sekarang.
Jualan Porsche Menurun, China Antara Cabaran Besar

Leiters mengambil alih kepimpinan Porsche pada ketika prestasi jualan global jenama itu tidak begitu memberangsangkan. Jualan syarikat dilaporkan menurun 10 peratus pada 2025 selepas turut mencatat penyusutan tiga peratus pada tahun sebelumnya.
Pasaran China menjadi antara cabaran terbesar apabila permintaan di negara itu terus merosot dengan penurunan dua digit selama tiga tahun berturut-turut. Situasi ini memberi tekanan kepada Porsche kerana China sebelum ini merupakan salah satu pasaran terpenting bagi jenama tersebut.
Strategi Dwi-Kuasa: Enjin Pembakaran dan Elektrik

Sebelum ini, Porsche sudah membuat beberapa keputusan penting berkaitan rangkaian model masa depan. Antaranya termasuk pelan untuk memperkenalkan pengganti Macan dengan enjin petrol selain mengekalkan versi elektrik model tersebut.
Pendekatan sama turut dirancang untuk model Boxster dan Cayman yang bakal ditawarkan bersama versi elektrik masing-masing. Malah SUV tiga baris tempat duduk Porsche juga dijangka dilancarkan dengan enjin pembakaran dalaman, bukannya sebagai model elektrik sepenuhnya seperti perancangan awal.
Taycan, Panamera Mungkin Berkongsi Masa Depan
Ketika ini, Taycan dan Panamera wujud sebagai dua model sedan berbeza yang menyasarkan pelanggan berlainan. Panamera ditawarkan dengan enjin pembakaran dalaman, manakala Taycan pula merupakan sedan elektrik sepenuhnya.
Jika kedua-dua model itu digabungkan, model baharu berkenaan berpotensi menggunakan lebih banyak komponen bersama dan mungkin ditawarkan dalam versi elektrik serta enjin petrol di bawah satu nama model yang sama.
Nama Panamera Lebih Berpotensi Digunakan

Masih belum jelas nama manakah yang akan digunakan sekiranya Porsche benar-benar melaksanakan rancangan tersebut. Namun, Panamera dilihat mempunyai kelebihan kerana model itu sudah berada dalam pasaran hampir dua dekad dan mempunyai pengaruh jenama yang lebih kuat.
Sebaliknya, permintaan terhadap Taycan dilaporkan semakin perlahan terutama dalam segmen kenderaan elektrik yang kini berdepan persaingan sengit, khususnya di China. Pengeluar tempatan di negara itu semakin agresif memperkenalkan model elektrik berteknologi tinggi dengan harga yang jauh lebih kompetitif.
SUMBER: Motor1.com









