SINGER yang juga pakar baik pulih mewah dari California, Amerika Syarikat (AS) menambah portfolio menerusi pengenalan Porsche 911 Carrera Cabriolet Reimagined by Singer.
Projek terbaharu itu menumpukan kepada pengalaman pemanduan bumbung terbuka dengan prestasi tinggi yang diilhamkan daripada varian Porsche 911 Carrera Cabriolet badan lebar yang sangat jarang ditemui \ era 1980-an.
Baik Pulih Menyeluruh
Model itu menggunakan struktur monokok asal Porsche 911 Type 964 yang berusia lebih 30 tahun. Setiap unit akan melalui proses baik pulih menyeluruh yang mana semua komponen dileraikan sehingga rangka asas untuk dibersihkan dan diperkukuh.
Penggunaan panel badan gentian karbon bukan saja memberikan gaya lebih agresif, tetapi membantu mengurangkan berat keseluruhan dan meningkatkan ketegaran casis untuk pengendalian lebih tajam.
Antara inovasi utama diperkenalkan ialah mekanisme bumbung lipat jenis corak Z yang ringan. Sistem itu memastikan operasi buka dan tutup bumbung berjalan lancar serta mengekalkan profil kemas dalam apa jua keadaan.
Trenkuasa NA 4.0L
Nadi kereta ini menggunakan enjin aspirasi natural (NA) 4.0L Flat-Six yang dibangunkan semula Singer dengan kerjasama kepakaran kejuruteraan daripada Cosworth.
Terdahulu, PanduLaju pernah memaparkan Porsche 911 Cabriolet Turbo Study dengan trenkuasa 3.8L Twin- Turbo.
Enjin NA itu ialah evolusi penting Singer kerana menggabungkan teknologi kepala silinder penyejukan cecair dengan silinder penyejukan udara dan penggunaan kipas kuasa elektrik.
Sistem enjin itu turut dilengkapi teknologi pemasaan injap variabel (VVT) yang kali pertama digunakan dalam siri baik pulih Singer untuk mengoptimum tork pada halaju rendah dan kuasa maksimum pada rev tinggi.
Kuasa setinggi 426hp disalurkan sepenuhnya ke roda belakang melalui kotak gear manual 6-kelajuan.
Pemandu juga boleh memilih mekanisme penukaran gear jenis terbuka untuk menonjolkan lagi aspek seni mekanikal pada ruang kabin.
Dinamik Pemanduan, Kawalan
Bagi memastikan hantaran kuasa berkesan ke permukaan jalan, Singer melengkapi model itu dengan sistem suspensi canggih, merangkumi absorber boleh laras 4-tetapa dengan Kawalan Damper Elektronik (EDC)
Sistem itu boleh dilaras terus dari kerusi pemandu dan turut menyertakan sistem lif bahagian depan untuk memudahkan perjalanan di kawasan bonggol.
Aspek keselamatan dan kawalan dibantu sistem Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) generasi terkini, Kawalan Traksi (TC), serta Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC) yang dibangunkan bersama Bosch.
Ada lima mod pandu yang boleh dipilih pemandu: Road, Sport, Track, Off dan Weather untuk menyesuaikan tahap campur tangan sistem elektronik mengikut kondisi jalan semasa.
Kabin, Personalisasi
Setiap unit Porsche 911 Carrera Cabriolet dihasilkan mengikut permintaan setiap pemilik sebagai karya seni automotif yang unik.
Ruang kabin menampilkan susunan instrumen klasik 911 yang diberikan sentuhan mewah melalui tolok buatan tangan mengikut standard pembuatan jam tinggi.
Singer juga memperkenalkan teknik jahitan kulit yang digosok dan dikilat pada keseluruhan kabin buat kali pertama.
Walaupun mengekalkan elemen klasik, teknologi moden tetap disertakan secara minimalis seperti sistem navigasi dan konektiviti telefon pintar.
Pemilik boleh memilih antara kerusi sport ringan atau kerusi trek untuk mendapatkan posisi pemanduan paling ideal untuk penumpang dan pemandu.
Sebagai tambahan, Singer menawarkan pilihan spoiler belakang jenis tetap atau spoiler boleh aktif elektronik mengikut kelajuan untuk pengurusan aliran udara lebih baik.
Spesifikasi Porsche 911 Carrera Cabriolet Reimagined by Singer
- Enjin NA 4.0L jadi Flat-Six (4-injap setiap silinder)
Teknologi enjin VVT, kepala silinder penyejukan cecair, silinder penyejukan udara - Output kuasa 426hp
- Putaran enjin lebih 8,000rpm
- Transmisi manual 6-kelajuan
- Sistem pacuan roda belakang (RWD)
- Sistem ekzos titanium
- Casis monokok keluli asal 911 Type 964 dengan struktur diperkukuh
- Badan gentian karbon dengan rekabentuk badan lebar dan ABS Bosch
- Rim centre-lock 18 inci
- Tayar Michelin Pilot Sport
- Bumbung mekanisme lipat corak Z ringan
- Mod pandu Road, Sport, Track, Off dan Weather
- Jumlah pengeluaran 75 unit sahaja




















































