
KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengakui insiden pokok tumbang yang kerap berlaku di laluan kereta api kini menjadi ancaman serius kepada kelancaran operasi tren, selepas satu lagi insiden antara Rembau dan Tampin pada Selasa lalu.
Insiden di KM494.25 jam 10.08 pagi itu menyebabkan gangguan bekalan elektrik dan menjejaskan perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Komuter.
Insiden terbaru itu sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai tahap pengurusan kawasan berhampiran rizab landasan, khususnya membabitkan tanah milik persendirian dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang didakwa masih belum mengambil langkah pencegahan sewajarnya.
Gangguan Perkhidmatan, Kelewatan hingga Dua Jam

Susulan kejadian itu, KTM memaklumkan tren hanya dapat menggunakan satu landasan buat sementara waktu bagi memastikan keselamatan operasi.
Situasi tu menyebabkan kelewatan ketara kepada beberapa perkhidmatan utama, termasuk ETS EG9442 (JB Sentral - Padang Besar) yang lewat sehingga 120 minit, manakala ETS EP9524 (JB Sentral - KL Sentral) dan perkhidmatan KTM Komuter Batu Caves - Tampin - Batu Caves masing-masing lewat sekitar 60 minit.
Menurut KTM, kerja memotong dan mengalihkan pokok tumbang sudah selesai dilaksana, manakala pasukan teknikal kini sedang membaiki sistem elektrik yang terjejas. Usaha itu bertujuan memastikan perkhidmatan kembali beroperasi seperti biasa secepat mungkin.
Pokok dari Luar Rizab KTM, Insiden Berulang

Dalam kenyataan rasmi, KTM menegaskan pokok yang tumbang itu berasal dari kawasan luar rizab KTM, bukan dari tanah milik syarikat. Malah, insiden hampir sama turut berlaku pada Disember lalu, yang menyebabkan 12 tiub kantilever rosak, sekali gus membuktikan isu tersebut bukan kes terpencil.
KTM memberi amaran kegagalan mengambil tindakan pencegahan dan pengurusan pokok secara sistematik boleh menyebabkan insiden berulang, seterusnya menjejaskan kelancaran operasi tren, menyebabkan kelewatan berpanjangan dan meningkatkan risiko keselamatan kepada pengguna rel.
Surat Rasmi Dihantar, Maklum Balas Masih Dinanti
Bagi menangani masalah berkenaan, KTM memaklumkan pihaknya telah mengambil langkah proaktif dengan mengenal pasti pemilik tanah serta pihak berkepentingan yang mempunyai rizab tanah berhampiran laluan kereta api, termasuk pihak berkuasa tempatan, pemilik persendirian dan agensi berkaitan.
Menurut KTM, surat rasmi telah dihantar kepada semua pihak terbabit bagi memaklumkan risiko yang wujud serta keperluan mengambil langkah pencegahan segera. Namun setakat ini, syarikat itu masih belum menerima sebarang maklum balas rasmi daripada pihak-pihak berkenaan.
Tanggungjawab PBT Di Bawah Akta Kerajaan Tempatan
KTM turut mengingatkan bahawa berdasarkan Seksyen 101(b) dan Seksyen 101(cc/i) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), pihak berkuasa tempatan mempunyai tanggungjawab statutori untuk mengambil tindakan sewajarnya, termasuk memangkas atau menebang pokok yang berisiko mengundang bahaya.
Sehubungan itu, KTM menyeru semua pihak yang bertanggungjawab agar segera melaksanakan langkah pengurusan pokok secara menyeluruh demi mengelakkan kejadian tidak diingini pada masa hadapan, sekali gus memastikan keselamatan serta kebolehpercayaan sistem pengangkutan rel negara terus terpelihara.
SUMBER: FB KTM Berhad


Leave a Reply