PERODUA mengulangi pendirian syarikat itu untuk tidak menaikan harga jualan kenderaan walaupun berdepan kenaikan kos pengeluaran yang dihadapi rata-rata pemain automotif di Malaysia.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, pihaknya akan mengambil beberapa langkah untuk memastikan perkara itu direalisasikan sekurang-kurangnya tahun ini.
Malah Perodua akan menyerap kenaikan harga kos dan memastikan pihak vendor mampu mengharungi situasi semasa.
Kami berdepan detik sukar ketika ini. Peningkatan harga bahan mentah sememangnya luar biasa, antaranya harga keluli dan semua material plastik. Bagaimanapun, untuk baki tahun ini, kami memutuskan untuk tidak memindahkannya (kos kenaikan) kepada pelanggan.
“Perodua akan menyerap kos kenaikan dan bagaimana cara kami menguruskannya adalah antara kami dan pihak vendor. Dan kami juga akan menyokong beberapa vendor. Sokongan ini bermaksud mereka juga mampu bertahan dalam perniagaan masing-masing dan pembekalan (komponen).”
Beliau menyatakan pendirian itu dalam majlis pelancaran Program Ekosistem Transformas Digital MIDA-Perodua hari ini.
Zainal Abidin berkata, Perodua memikul tanggungjawab membantu semua vendor sama ada terlibat dalam Program Sistem Rantaian Bekalan Perodua atau Program Ekosistem Transformasi Digital MIDA-Perodua.
Menurutnya;
Vendor menjadi ekosistem penting dalam memastikan industri automotif negara kekal berdaya saing walaupun berdepan dengan pelbagai krisis termasuk peningkatan harga bahan mentah.
"Justeru, Perodua sentiasa memastikan ekosistem ini sentiasa terjaga, termasuk melaksanakan langkah transformasi dengan pelbagai pihak seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA)."
Pada Januari lalu, Zainal pernah menyatakan keputusan Perodua untuk tidak menaikkan harga kenderaan sebaliknya mahu cuba menurunkan harga alat ganti.
BACA >>> Perodua Tiada Pelan Naikkan Harga Kereta, Tapi Cuba Turunkan Harga Alat Ganti
BACA >>> Kenaikan Harga Bahan Mentah, Harga Kereta Dijangka Naik
BACA >>> CEO: Kereta Elektrik Perodua Tidak Mustahil Lima Tahun Lagi
BACA >>> Perodua Terima Tempahan Kenderaan Lebih 25k Unit Sehari!
Leave a Reply