ERA 1980-an menyaksikan banyak pengeluar motosikal mencabar kemampuan diri untuk menghasilkan enjin paling berkuasa.
Perang kelajuan itu mencetuskan spekulasi yang khabarnya Kesatuan Eropah (EU) merancang mengehadkan kuasa kuda enjin motosikal kepada 100hp sahaja, tetapi tiada apa yang berlaku selepas itu. Akhir 1990-an, muncul model motosikal yang mengubah segalanya, Suzuki Hayabusa.
Pada 1990-an, Honda CBR1100XX Super Blackbird ialah model superbike terpantas, tetapi kemunculan Hayabusa menyebabkan rekod itu diserahkan kepada Suzuki.
Suzuki memperkenalkan Hayabusa generasi pertama pada 1999 yang dipacu enjin 4-silinder sebaris 1,300cc, berkuasa 173hp, dibangunkan daripada GSXR1100
MISI SUZUKI HAYABUSA
Hayabusa memang direka untuk memecahkan rekod Blackbird, dan superbike ini juga model pengeluaran pertama yang berjaya mencatatkan kelajuan lebih 300kmj.
Honda bagaimanapun memilih untuk tidak meniru langkah Suzuki, manakala Kawasaki pula menyambut cabaran dengan membangunkan enjin 1,400cc untuk model ZXR. Ketika itu semua pengeluar motosikal Jepun berusaha mencabar diri untuk melepasi penanda aras kelajuan 300kmj.
Ini detik penting dalam sejarah motosikal kerana perang kelajuan tersebut hampir membawa kepada sekatan langsung daripada EU.
EROPAH GUSAR
Pemimpin pentadbiran di Eropah menyuarakan kebimbangan terhadap trend penunggang menunggang motosikal berkuasa tinggi di jalan raya awam.
Akhirnya semua pengeluar Jepun bersetuju menamatkan perang kelajuan itu sebelum negara EU mengenakan tindakan ke atas produk masing-masing. Malah, timbul ura-ura EU bercadang mengharamkan import motosikal kelajuan tinggi dari Jepun.
Justeru bagi mencapai situasi menang-menang, maka lahirlah 'perjanjian lelaki budiman' (the gentlemen’s agreement) sesama pihak terlibat tanpa ada sebarang majlis tandatangan rasmi. Tiada siapa tahu sama ada perjanjian itu ada dalam bentuk bertulis atau sebaliknya.
Ketika itu, Honda mengumumkan tidak akan menghasilkan motosikal melebihi halaju 300kmj, manakala Suzuki dan Kawasaki pula memilih untuk berdiam diri. Namun, perjanjian berkenaan sebenarnya memberi kesan terhadap model 1,000cc bermula 2000 yang menyaksikan Hayabusa dan Kawasaki ZX-14 baharu dipasangkan peranti pengehad halaju tidak lebih 300kmj.
ITALI LANGGAR PERJANJIAN?
Berbeza pula di Itali, pengeluar motosikal di sana tidak berminat menghasilkan model berkuasa tinggi untuk dipecut laju atas laluan lurus semata-mata. Sebaliknya, perlu menepati regulasi Kejuaraan Dunia (sukan perlumbaan). Pengeluar Itali memang tidak pernah mengetepikan hasrat mahu membangunkan motosikal terpantas.
Pada 2007, MV Agusta memperkenalkan superbike F4R 312 baharu, dan angka '312' itu ialah kelajuan maksimum model tersebut, 312kmj.
MV Agusta dikatakan pengeluar yang berjaya menamatkan gencatan perjanjian tidak bersurat tentang had kelajuan superbike. Selepas itu, Ducati mengikut jejak langkah sama dengan melancarkan 1199 Panigale R dengan kelajuan 325kmj sebelum disusuli BMW menerusi S1000RR.
Kawasaki menyertai senarai dengan bantuan model supercas 1,000cc, iaitu Ninja H2 (200hp) dan H2R (310hp). Pelumba Kenan Sofuoglu mencipta rekod dunia dengan Ninja H2R di atas Jambatan Osman Gazi, Turki. Rekod beliau ialah 400kmj (tonton video di atas).
SUMBER: Medium
Leave a Reply