
SEORANG pemandu lelaki ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk hingga merempuh palang keselamatan di Istana Negara, awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT), Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, insiden berlaku kira-kira jam 3.30 pagi ketika suspek lelaki berusia 21 tahun itu memandu sebuah Toyota Vios dari Bukit Damansara.
Tiada Kecederaan, Palang Keselamatan Rosak
Mohd Zamzuri berkata, tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden berkenaan, tetapi kemalangan itu menyebabkan kerosakan pada bahagian depan kenderaan, selain tiang bollard (bollard pole) dan pagar pengadang di pintu masuk berkenaan.
Polis turut mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), merakam percakapan pemandu dan menjalankan ujian pernafasan bagi membantu siasatan,” katanya.
Paras Alkohol Lebih Had Dibenarkan
Hasil ujian mendapati kandungan alkohol dalam badan suspek ialah 166mg bagi setiap 100ml darah, iaitu melebihi had dibenarkan undang-undang.
Susulan itu, Pejabat Timbalan Pendakwa Raya sudah mengarahkan pemandu terbabit didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dibawa ke Mahkamah
Mohd Zamzuri berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pagi ini untuk pertuduhan lanjut.
Polis menegaskan tindakan tegas akan terus diambil terhadap pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol, kerana perbuatan itu mengancam keselamatan pengguna jalan raya dan orang awam.
SUMBER: AstroAwani







