KES pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah yang meragut nyawa seorang penunggang motosikal di Jalan Raya Barat kini memasuki fasa lebih serius apabila pertuduhan dipinda kepada bunuh di bawah Kanun Keseksaan.
Tertuduh, Saktygaanapathy Ravichandran, 28, didakwa menyebabkan kematian Amirul Hafiz Omar, 33, dalam insiden kira-kira jam 11.47 pagi, 29 Mac lalu.
Daripada Kes Trafik ke Kes Bunuh
Kes yang sebelum ini disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 kini dinaik taraf kepada Seksyen 302 , satu langkah luar biasa yang mencerminkan ketegasan pihak berkuasa terhadap kes pemanduan melulu sehingga menyebabkan kematian.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan:
- Hukuman mati, atau
- Penjara minimum 30 tahun hingga maksimum 40 tahun, serta sebatan (jika tidak dihukum mati)
Tiada pengakuan direkodkan setakat ini kerana kes berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Turut Mengaku Bersalah Kes Dadah
Dalam prosiding sama, tertuduh turut berdepan pertuduhan berasingan berkaitan penggunaan dadah jenis benzo dan THC.
Bagi kesalahan itu, beliau mengaku bersalah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun.
Signal Paling Keras Setakat Ini
Pendakwaan di bawah Seksyen 302 itu jelas memberi mesej besar, kes pemandu mabuk yang menyebabkan kematian bukan lagi dilihat sekadar kemalangan jalan raya, tetapi boleh dianggap jenayah berat setaraf bunuh.
SUMBER | FOTO: AstroAwani











