MASALAH pengguna jalan raya menggunakan lorong kecemasan dan memotong sesuka hati kini bukan lagi hanya berlaku pada musim perayaan, tetapi sudah menjadi rutin harian yang membimbangkan.
Pengasas dan Penasihat Keselamatan Jalan Raya, Jamil Manan Supri, berkata, masalah itu berpunca daripada sikap mementingkan diri dan kurang rasa hormat terhadap pengguna jalan raya lain.
Menurutnya, sikap tidak sabar dan tidak menghormati peraturan jalan raya sering menyebabkan tragedi, terutama ketika berlaku kesesakan lalu lintas pada musim perayaan atau cuti panjang.
Walaupun Kerajaan melaksanakan pelbagai langkah untuk mengurangkan masalah tersebut seperti Smart Lane yang diperkenalkan PLUS Malaysia Berhad untuk meningkatkan kapasiti lorong, masalah utama tetap kepada sikap pemandu.
Jamil juga menekankan perlu orang ramai memainkan peranan dalam menangani masalah ini dengan menggalakkan penggunaan kamera pemuka (dashcam). Beliau berkata, penggunaan dashcam untuk merakam kesalahan pemandu yang menyalah guna lorong kecemasan adalah antara cara terbaik memastikan pesalah trafik dikenakan tindakan.
Rakaman video atau gambar yang diambil boleh digunakan sebagai bukti kepada pihak berkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan undang-undang.
Rakaman tersebut boleh dihantar melalui aplikasi mudah alih MyJPJ atau media sosial rasmi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) untuk memastikan tindakan sewajarnya diambil.
Dengan langkah ini, diharapkan dapat mengurangkan kesalahan penggunaan lorong kecemasan dan meningkatkan disiplin pemandu di jalan raya demi keselamatan semua pihak.
SUMBER: HarianMetro
Leave a Reply