
FASA terkini operasi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 di dasar laut Lautan Hindi Selatan sudah mencapai liputan tinjauan yang ketara, namun setakat ini tiada sebarang penemuan penting atau hasil muktamad berjaya dikenal pasti.
Perkara itu dimaklumkan menerusi Laporan Ringkasan Kemajuan Operasi Pencarian MH370 bagi tempoh 6 hingga 15 Januari 2026, yang dimuat naik di laman Facebook MH370 Families.
Menurut laporan berkenaan, operasi pencarian yang dijalankan menggunakan kapal Armada 8605 meliputi kawasan terkumpul seluas kira-kira 7,236.40 kilometer persegi setakat 15 Januari 2026.
Operasi Hampir Tanpa Gangguan, Cuaca Faktor Utama
Laporan tersebut menjelaskan bahawa aktiviti pencarian dilaksanakan di sektor Lautan Hindi Selatan dengan menggunakan sehingga tiga Hugin Autonomous Underwater Vehicles (AUV), dan operasi berjalan hampir tanpa gangguan sepanjang tempoh 6 hingga 14 Januari 2026.
Keadaan cuaca yang menggalakkan membolehkan usaha tinjauan diteruskan secara konsisten sehingga 14 Januari, sebelum operasi terpaksa dihentikan pada 15 Januari berikutan keadaan cuaca buruk.
Bagaimanapun, laporan mengesahkan bahawa ketiga-tiga AUV berjaya dikeluarkan dengan selamat dan dibawa naik ke atas Armada 8605 tanpa sebarang insiden.
Operasi ini terus berkembang secara berperingkat dan teratur dalam kawasan pencarian yang ditetapkan, dengan hasil selanjutnya bergantung kepada kesinambungan tinjauan serta keadaan operasi yang menggalakkan,” menurut laporan berkenaan.
Armada 8605 Kembali ke Fremantle
Susulan tempoh operasi yang dilanjutkan, Armada 8605 dijadualkan kembali ke Fremantle bagi tujuan pertukaran kru, sebelum meneruskan fasa pencarian seterusnya.
Latar Belakang Operasi Pencarian
Untuk rekod, pada 3 April tahun lalu, kerajaan Malaysia telah menandatangani perjanjian dengan Ocean Infinity dari United Kingdom bagi menyambung semula operasi pencarian pesawat MH370.
Pesawat Malaysia Airlines MH370 dilaporkan hilang pada 8 Mac 2014 selepas berlepas dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing, dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal.
Sehingga kini, kehilangan pesawat berkenaan kekal sebagai antara misteri penerbangan terbesar dalam sejarah dunia, dengan usaha pencarian masih diteruskan secara berperingkat.
SUMBER: SinarHarian




