
NISSAN Motor Co Ltd menerusi usahasama dengan Zhengzhou Nissan Automobile Co Ltd (Zhengzhou Nissan) di China, secara rasmi melancarkan trak pikap serba baharu, Nissan Frontier Pro 2026 dan Nissan Frontier Pro PHEV 2026.
Nissan Frontier Pro PHEV ialah trak pikap pertama Nissan yang dilengkapi sistem hibrid plug-in (PHEV) dan kedua-dua model itu ialah trak pikap Nissan pertama yang direka, dibangunkan dan dikilangkan di China untuk tujuan eksport ke pasaran global.
Rekabentuk Luaran
Nissan Frontier Pro menampilkan rekabentuk yang menggabungkan ciri khas Nissan dengan elemen futuristik, selain menawarkan keselesaan dan pengalaman premium dalam kabin.
Menampilkan rekaan gril depan V-motion, yang menjadi identiti khas Nissan dengan logo apung buatan laser dan lampu depan LED yang menyerlahkan imej futuristik.
Bahagian belakang diserlahkan dengan lampu belakang 3D dan jalur pencahayaan yang merentangi pintu belakang untuk penampilan menonjol.
Kabin Premium, Keselesaan
Tempat duduk depan kulit dengan kusyen ventilasi udara enam lapisan untuk keselesaan pemanduan jarak jauh lebih baik. Penggunaan material sued diperhalusi yang selesa disentuh dan tahan lelasan, termasuk calar.
Tempat duduk belakang luas dengan tujuh konfigurasi berbeza, yang menawarkan kapasiti simpanan hingga 970 liter apabila dilipat rata.
Kabin dipertingkat dengan bahan penebat bunyi dan peredam getaran, serta dilengkapi bumbung suria panoramik besar dan sistem audio taraf dunia.
Struktur Badan, Keselamatan

Aspek keselamatan dan ketahanan Nissan Frontier Pro 2026 diperkukuh melalui struktur badan kukuh dan ciri bantuan pemandu komprehensif.
Berikut perincian struktur, dan keselamatan ditawarkan trak pikap Nissan itu:
- Kestabilan pemanduan mantap atas permukaan jalan lasak yang dicapai melalui penggunaan keluli kekuatan tinggi pada badan dan casis
- Ketahanan luaran menggunakan 100 peratus keluli galvani dua sisi
- Bahagian bawah badan disalut untuk perlindungan maksimum daripada batu kerikil dan serpihan
- Ciri keselamatan dilengkapi 25 ciri Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) komprehensif pasif dan aktif bagi mencegah kemalangan dan melindungi penumpang
Prestasi Enjin

Nissan Frontier Pro PHEV menggabungkan enjin 4-silinder 1.5L pengecas turbo dengan motor elektrik kuasa tinggi yang menghasilkan output kuasa 300kW (lebih 402hp) dan tork hingga 800Nm, sekli gus menjanjikan prestasi dan kecekapan tenaga terbaik.
Mod EV disasarkan untuk mencapai jarak maksimum 135km berdasarkan ujian Kitaran Pemanduan Eropah Baharu (NEDC).
Bekalan kuasa luaran dibekalkan dengan bekalan kuasa luaran pintar kapasiti tinggi 6kW untuk menyokong pelbagai keperluan luar seperti memasak, pencahayaan atau menghidupkan peralatan elektrik.
Frontier Pro versi ICE pula menggunakan enjin diesel M9T 2.3L generasi ketiga dengan output tork hingga 500Nm, dan dipadankan transmisi automatik 8-kelajuan ZF.
Harga Jualan
Harga jualan ditetapkan untuk pasaran China:
- Nissan Frontier Pro - 169,900 - 199,900 yuan (sekitar RM99,230 - RM116,800)
- Nissan Frontier Pro PHEV - 189.900 - 249,900 yuan (sekitar RM110,990 - RM146,040)
Pasaran Dunia!
Pelancaran model itu menandakan pencapaian penting dalam strategi global Nissan, yang mana Nissan Frontier Pro 2026 dan Nissan Frontier Pro PHEV 2026 akan mula dieksport ke seluruh dunia menjelang separuh pertama tahun depan.
Pasaran mana belum diketahui dan berdasarkan Thailand sebagai pusat global trak pikap saiz sederhana, mungkin atau berpotensi dibawa ke sana.















Leave a Reply