PELUMBA Ducati Lenovo Team, Marc Marquez, menghidupkan semula misi kejuaraan dunia apabila menjuarai perlumbaan penuh drama di Grand Prix San Marino, Misano, menewaskan pelumba Aprilia Racing Factory, Marco Bezzecchi. Kemenangan ini meletakkan Marquez semakin hampir untuk bergelar Juara Dunia MotoGP, dengan peluang pertama menanti di GP Jepun minggu depan.
Satu-satunya pelumba yang masih boleh menggagalkan impian itu ialah Alex Marquez (BK8 Gresini Racing MotoGP) yang menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, menjadikan podium kali ini istimewa buat pasukan Gresini di tanah air sendiri.
Drama Awal Sebelum Perlumbaan Bermula
Sebelum lampu isyarat merah padam, rakan sepasukan Bezzecchi, Jorge Martin (Aprilia Racing Factory) berdepan masalah mekanikal ketika pusingan pemanasan, memaksanya bermula dari lorong pit dan kemudian menerima dua penalti Long Lap.
Di awal perlumbaan, Bezzecchi mendahului, diikuti rapat oleh Marc Marquez di P2, Alex Marquez di P3 dan pelumba Monster Energy Yamaha Fabio Quartararo di P4.
Pelumba Tersingkir Awal
Beberapa pelumba tersingkir awal termasuk Johann Zarco (CASTROL Honda LCR) dan Joan Mir (Honda HRC Castrol) yang terjatuh di Lap 1, Ai Ogura (Aprilia Trackhouse) di Lap 3, Maverick Viñales (Red Bull KTM Tech3) di Lap 5 dan Pedro Acosta (Red Bull KTM Factory Racing) yang tersingkir selepas rantai jentera RC16 terlucut. Juara bertahan Francesco Bagnaia (Ducati Lenovo Team) turut terbabas di Lap 10 ketika berada di P7
Pada Lap 12, kesilapan kecil Bezzecchi membuka ruang untuk Marc Marquez memintas di selekoh 8. Sejak itu, kedua-duanya saling menekan sehingga ke penghujung perlumbaan, sementara Alex Marquez mula ketinggalan hampir dua saat di belakang.
Pemenang GP San Marino
Marc Marquez mencatatkan pusingan terpantas di Lap 21 dan terus menjarakkan diri sekitar 0.5 saat. Bezzecchi cuba menyerang semula di tiga lap terakhir dan mencatatkan pusingan terpantasnya, namun Marquez segera membalas dengan catatan masa lebih pantas untuk mengekalkan kelebihan.
Akhirnya, Marquez menamatkan 27 lap perlumbaan penuh debar itu dengan kelebihan 0.4 saat di hadapan Bezzecchi, manakala Alex Marquez menamatkan saingan di tempat ketiga, 7.7 saat di belakang mereka.
Keputusan Penuh Top 10 Misano
- Franco Morbidelli (Pertamina Enduro VR46 Racing Team)
- Fabio Di Giannantonio (Pertamina Enduro VR46 Racing Team)
- Fermin Aldeguer (BK8 Gresini Racing MotoGP)
- Luca Marini (Honda HRC Castrol)
- Fabio Quartararo (Monster Energy Yamaha MotoGP)
- Miguel Oliveira (Prima Pramac Yamaha MotoGP)
- Brad Binder (Red Bull KTM Factory Racing)
Seterusnya: GP Jepun Penentu Juara
Dengan kemenangan ini, Marc Marquez bakal membawa mata kelebihan mencukupi ke GP Jepun untuk merebut kejuaraan dunia pertamanya bersama Ducati. Adakah #93 bakal dimahkotakan juara dunia di Motegi? Sama-sama kita nantikan detiknya!
SUMBER: MotoGP
Leave a Reply