JENAMA motosikal Itali-China, Moto Morini X-CAPE 700 2026, rasmi memasuki pasaran Malaysia dengan menawarkan pilihan baharu dalam segmen motosikal adventure touring kelas middelweight yang semakin mendapat perhatian penunggang tempatan.
Dilancarkan pada harga RM33,888, tidak termasuk cukai jalan dan insurans, model itu tampil dengan pakej lengkap untuk kegunaan harian, jelajah jarak jauh dan tunggangan off-road ringan.
Bagi pembeli yang mahukan sebuah motosikal kembara serba lengkap terus dari kilang, Moto Morini X-CAPE 700 2026 hadir dengan ciri moden seperti panel meter TFT 7 inci, Sistem Kawalan Traksi (TCS), Sistem Pemantau Tekanan Tayar (TPMS), kamera depan, sambungan Bluetooth, dan set kotak touring standard.
Ditawarkan dalam tiga warna pilihan, iaitu Stone Black (hitam), Vortex Red (merah) dan Dynamic White (putih), model itu jelas disasarkan kepada penunggang yang mementingkan gaya dan fungsi.
Enjin 2-Silinder 693cc Berkuasa 74hp
Nadi penggerak Moto Morini X-CAPE 700 2026 ialah enjin 4-lejang 2-silinder sebaris 693cc penyejukan cecair dengan suntikan bahan api elektronik (EFI).
Model itu menghasilkan 74hp @ 8,500rpm dan tork 68Nm @ 6,500rpm, yang dipadankan transmisi klac manual 6-kelajuan pacuan rantai.
Gabungan output memberi karakter tunggangan cukup seimbang untuk kegunaan pelbagai situasi, sama ada memotong di lebuh raya, mendaki laluan berbukit atau membawa muatan penuh ketika jelajah.
Klac multiplat basah FCC dengan fungsi klac sliper membantu menambah kestabilan ketika menurunkan gear secara agresif.
Suspensi Marzocchi, KYB
Aspek casis, Moto Morini X-CAPE 700 2026 menggunakan fork terbalik (USD) boleh laras Marzocchi dengan jarak travel 165mm di depan, dan monoshock KYB boleh laras dengan jarak travel 160mm (belakang).
Sistem suspensi cukup untuk menyerap permukaan jalan tidak rata dan memberikan keyakinan ketika melalui laluan off-road ringan.
Brek Brembo, ABS Dwi-Saluran
Sistem brek pula menggunakan komponen premium Brembo. Di depan, Moto Morini X-CAPE 700 2026 menerima cakera kembar jenis apung 298mm dengan kaliper brek 4-piston, manakala brek belakang dipasang cakera tunggal 255mm dengan kaliper brek 2-piston.
Sistem brek dipadankan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dwi-saluran untuk tahap keselamatan lebih baik terutama ketika membrek dalam kondisi jalan basah atau ketika membawa beban tambahan.
Rim Jejari 19 Inci, Sesuai untuk Jelajah Advencer
Bagi mengekalkan identiti advencer sebenar, Moto Morini X-CAPE 700 2026 hadir dengan rim jejari, dengan tayar 110/90 R19 di depan dan 150/70-R17 (belakang).
Kombinasi tersebut sangat sesuai untuk pelbagai gaya tunggangan seperti jalan raya berturap atau laluan kurang sempurna, termasuk membantu memberikan kestabilan lebih baik ketika perjalanan jauh.
Dimensi, Praktikaliti Jelajah
Dari segi saiz, Moto Morini X-CAPE 700 2026 memiliki dimensi panjang 2,220mm, lebar 960mm, dan tinggi 1,510mm, manakala jarak roda 1,49 mm.
Model itu memiliki tinggi pelana 840mm, jarak tinggi bumi 190mm, dan berat 233kg, manakala kapasiti tangki petrol 18 liter yang cukup praktikal untuk perjalanan jarak jauh tanpa perlu kerap singgah stesen minyak.
Ciri Moden, Standard Lengkap
Antara ciri utama ditawarkan ialah:
- Panel meter TFT 7 inci
- Port USB Type-A dan Type-C
- Bluetooth dan aplikasi telefon pintar
- Lampu LED penuh dengan lampu siang (DRL)
- Sistem Kawalan Traksi (TCS)
- Sistem Pemantau Tekanan Tayar (TPMS)
- Mod tunggang Ride dan Off-Road
- Kamera depan
Kepada kaki jelajah, Moto Morini turut memberikan pakej aksesori standard lengkap seperti:
- Kotak sisi 34 liter kiri dan 30 liter (kanan), serta kotak atas 39 liter
- Visor angin boleh laras manual
- Gad tangan
- Bar rempuh, palang pelindung
Harga Moto Morini X-CAPE 700 2026 Malaysia
Pada harga RM33,888, Moto Morini X-CAPE 700 2026 tampil sebagai pilihan menarik kepada penunggangย yang sedang mencari motosikal advencer jelajah dengan spesifikasi premium tanpa perlu berbelanja ke tahap model Eropah lebih mahal.
Setiap pembelian turut disertakan waranti dua [2] tahun tanpa had perbatuan, bersama sokongan pembelian alat ganti tulen secara dalam talian daripada Mforce Bike Holdings Sdn Bhd.
Moto Morini X-CAPE 700 2026 nampak cukup berbaloi untuk penunggang yang mahukan motosikal serba boleh, sesuai untuk ulang-alik harian, tunggangan hujung minggu dan ekspedisi jarak jauh.










































