![]()
JENAMA motosikal, Vespa sekali lagi tampil dengan model edisi khas menerusi pelancaran 2026 Vespa 946 Horse, sebuah skuter komemoratif yang dihasilkan bagi meraikan Tahun Kuda dalam kalendar zodiak Cina. Model ini meneruskan tradisi siri edisi terhad Vespa 946 yang sebelum ini turut menampilkan tema seperti Rabbit, Dragon dan Snake.
Seperti edisi-edisi terdahulu, Vespa 946 Horse dijangka hadir dalam pengeluaran terhad dengan harga premium yang boleh menghampiri RM100,000 di pasaran tertentu. Vespa bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah pengeluaran rasmi, namun kebiasaannya model edisi zodiak ini dihasilkan dalam angka simbolik yang berakhir dengan nombor “88“.
Dua Varian Enjin, 125cc dan 150cc
Untuk edisi 946 Horse, Vespa menawarkan dua pilihan varian enjin iaitu 125cc dan 150cc yang dibina berasaskan platform skuter semasa jenama Itali itu. Jika model ini dibawa masuk ke Malaysia, varian 150 dijangka menjadi pilihan utama seperti kebanyakan model Vespa premium lain.
Bagi varian 150, skuter ini menggunakan enjin satu silinder 155cc, tiga injap dan penyejukan udara yang menghasilkan kuasa sekitar 12.7hp pada 7,750rpm serta tork maksimum 12.8Nm pada 6,500rpm.
Rekaan Eksklusif Dengan Identiti Vespa 946

Seperti model Vespa 946 lain, edisi Horse menggunakan badan skuter unik dengan konfigurasi tempat duduk tunggal bersama rekaan “floating seat” yang menjadi identiti model tersebut. Pada bahagian badan turut tertera logo huruf “V” berwarna emas yang melambangkan Vespa.
Model ini disiapkan dalam warna khas yang dipanggil “Bay”, iaitu tona coklat gelap dengan sentuhan metalik yang memberikan imej elegan dan klasik. Bahagian belakang pula menempatkan rak barang dengan kemasan serbuk matte hitam menggantikan tempat duduk penumpang.
Aksesori Khas, Sentuhan Inspirasi Dunia Ekuestrian
Selain rekaan eksklusif, Vespa 946 Horse turut hadir dengan beberapa aksesori khas termasuk topi keledar edisi terhad serta beg bagasi belakang yang direka khusus untuk model ini.
Antara perincian menarik lain termasuk tempat duduk kulit berwarna coklat dengan butang logam berkemasan tembaga serta tali pengikat gaya klasik. Kemasan kulit coklat yang sama turut digunakan pada batang cermin sisi dan pemegang hendal, diinspirasikan daripada peralatan menunggang kuda.
SUMBER: Vespa.com


























