TEKNOLOGI bantuan pemandu memang bagus dengan tugas pemanduan diambil alih sistem kereta yang setakat ini masih memerlukan campur tangan manusia.
Walaupun canggih dan sementara betul-betul cekap, sistem ini juga perlu ditambah baik. Antaranya ciri parkir kereta automatik yang kadangkala mengambil masa dan silap haribulan dihon pula pemandu di belakang.
Malah pemandu cekap mungkin lebih pantas meletakkan kereta ke petak parkir berbanding sistem automatik.
Terbaharu, pemandu Mercedes-Benz dapat menikmati sistem lebih cekap menerusi ciri Bantuan Parkir Aktif (APA) dengan PARKTRONIC dipertingkat.
Menurut Mercedes-Benz, sistem ini dapat memarkir kereta dua kali lebih pantas berbanding dahulu. Pemandu hanya perlu memulakan proses memarkir dengan menekan butang digital pada skrin dan bar status akan menunjukkan proses pergerakan. Dalam proses parkir, sistem akan menyahkan bunyi isyarat PARKTRONIC.
Bagi model yang dilengkapi kamera 360º, pemandu boleh memilih pandangan berbeza ketika kereta diparkir.
Susulan kemas kini model tahun terbaharu, sistem yang dipertingkat dijadikan ciri standard untuk model E-Class, S-Class, EQS, EQS SUV, EQE, EQE SUV dan semua varian Maybach dengan pakej parkir dan kamera undur. Kamera 360º pula ditawarkan sebagai pilihan.
Proses Parkir Kereta
- Sistem akan mencari ruang parkir kereta pada halaju bawah 35kmj dan memaparkan simbol P warna biru pada skrin kluster instrumen di depan pemandu.
- Sistem juga mampu mengesan ruang sempit dengan pelepasan 50sm dan menggunakan garisan putih atau struktur selari seperti bendul atau kenderaan lain yang diparkir untuk orientasi atau kedudukan.
- Apabila ruang ditemui, anak panah putih akan terpapar pada skrin sebelah simbol P.
- Selepas gear undur diaktifkan, pemandu boleh memilih ruang letak kereta dan memulakan proses memarkir automatik.
- Bagi ruang vertikal (menegak), pemandu boleh memilih untuk diparkir secara depan atau mengundur.
Sistem Keselamatan Bersepadu
- Apabila sensor mengesan objek melintas (penunggang basikal, pejalan kaki yang berjalan laju) ketika keluar dari petak parkir, amaran optikal dan audio akan diaktifkan.
- Jika pemandu tidak memberikan respons, sistem akan membrek automatik.
- Malah sistem keselamatan ini berfungsi dalam situasi automatik atau manual ketika mengundur keluar dari ruang menegak.
Lihat video di bawah untuk memahami lebih jelas fungsi bantuan parkir baharu Mercedes dengan PARKTRONIC.
Leave a Reply