MAN Truck & Bus (MAN Malaysia) menyerahkan koc dek kembar pertama yang hadir dengan teknologi Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) kepada syarikat bas ekspres Super Nice Express.
Kos terbaharu itu adalah sebahagian 10 unit koc jenama MAN yang masing-masing melibatkan lima unit jenis dek kembar dan dek tunggal dengan setiap satu dilengkapi ciri ADAS.
Koc terbaharu itu dibangunkan menggunakan casis koc tiga gandar RR5 dengan rekabentuk badan TX9 dikemas kini pembina badan koc, TACT Coach Seat & Manufacturing.
7 CIRI ADAS BAS MAN
Ada tujuh ciri ADAS penting yang didatangkan bersama koc itu, iaitu Bantuan Brek Kecemasan (EBA), Kawalan Jelajah Adaptif (ACC), Amaran Keluar Lorong (LDW), Program Stabiliti Elektronik (ESP), Pemantau Tekanan dan Suhu Tayar (TPM), Pengaktifan Lampu Pandu Automatik (ADLA) dan Kawalan Wiper Automatik (AWC).
- EBA: Aktif dengan mengurangkan tork enjin, mengaktifkan lampu brek, menyah aktif ACC, meningkatkan tekanan brek dan mengaktifkan brek sepenuhnya jika perlu.
- ACC: Membantu mengelakkan risiko kemalangan dengan mengekalkan jarak selamat kenderaan lain dalam trafik sesak. Sensor radar akan membaca pergerakan kenderaan depan, mengekalkan halaju diingini, dan melaraskan kelajuan serta jarak pemanduan secara automatik.
- LDW: Menggunakan kamera untuk mengesan garisan lorong kiri dan kanan jalan, mengeluarkan bunyi amaran akustik atau haptik jika kenderaan melepasi tanda laluan apabila pemandu tidak mengaktifkan lampu signal belok.
- ESP: Mengurangkan kemungkinan bas terbalik ketika pergerakan kecemasan. Unit sensor memantau halaju kenderaan, input stereng dan kelajuan setiap roda dan secara selektif menggunakan brek pada roda tertentu untuk mengekalkan kawalan dan kestabilan sepanjang masa.
- Sensor TPM: Memantau tekanan dan suhu tayar secara berterusan. Pemantauan suhu membantu mengelakkan tayar terlalu panas yang boleh menyebabkan kebakaran atau kebocoran.
- Sensor ADLA: Mengesan tahap pencahayaan sekeliling dan melaraskan lampu depan secara automatik.
- AWC: Mengaktifkan wiper automatik apabila mengesan titisan hujan.
LAGI MANFAAT PENUMPANG
Penumpang yang memilih kerusi persendirian dalam bas akan menikmati kerusi graviti sifar yang menjanjikan peredaran darah optimum dan mengurangkan sakit badan. Juga ada sistem hiburan peribadi, pengecas USB dan dispenser air sejuk serta panas.
Pengarah Urusan MAN Malaysia, Andrew O’Brooks berkata;
Super Nice menunjukkan pandangan jauh dalam melindungi bukan saja pemandu dan pelanggan dengan memilih melengkapkan koc MAN dengan ADAS.
"Dengan berbuat demikian, syarikat turut melindungi perniagaannya kerana sistem pemanduan canggih dan pintar ini boleh mengelakkan kemalangan yang boleh membawa kepada kos baik pulih mahal dan masa henti kenderaan tidak berjadual.”
Leave a Reply