
PASARAN automotif tempatan bakal menerima satu lagi jenama baharu apabila model Lepas L4 dikesan sudah berada di Malaysia.
Berdasarkan maklumat yang diterima, unit berkenaan kini sedang menjalani sesi penggambaran video rasmi, memberi bayangan jelas bahawa pelancarannya semakin hampir.
Menariknya, Lepas L4 bukan datang bersendirian. Model ini bakal dilancarkan tahun ini bersama dua lagi ‘abangnya’, iaitu Lepas L6 dan Lepas L8.
Tiga Model Serentak?
Kehadiran Lepas L4 lebih awal memberi petunjuk bahawa model ini mungkin menjadi pembuka tirai kepada pengenalan jenama Lepas di Malaysia.
Jika strategi pelancaran dibuat secara berperingkat, L4 dijangka menyasarkan segmen SUV kompak, manakala L6 dan L8 berpotensi mengisi segmen lebih besar dengan fokus kepada ruang, teknologi serta ciri premium.
Walaupun spesifikasi rasmi dan harga masih belum diumumkan, kehadiran unit untuk penggambaran lazimnya menandakan proses pelancaran sudah berada di fasa akhir.
Persaingan SUV Semakin Sengit
Dengan lambakan jenama baharu dari China memasuki pasaran Malaysia, kehadiran Lepas bakal menambah lagi persaingan dalam segmen SUV yang kini sangat kompetitif.
Persoalannya, mampukah Lepas mencuri perhatian seperti jenama China lain yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pembeli tempatan?
Kita nantikan pengumuman rasmi dalam masa terdekat.




