PASUKAN bomba mengambil masa sekurang-kurangnya lima jam untuk menarik keluar sebuah kereta jenis Perodua Kembara bersama seorang mayat lelaki di dalamnya dari Sungai Miri di Jalan Kampung Pulau Melayu, Miri, semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan orang awam pada jam 8.30 malam.
BACA >>> #TahukahAnda: Tukul Cermin - Alat Kecemasan Berguna yang Pemandu Tidak Peduli
Menurutnya, sebuah kenderaan didapati terjunam ke dalam sungai kira-kira enam meter dari tebing sungai. Pasukan BBP Lopeng turut meminta bantuan Pasukan Penyelaman Di Air (PPDA) bagi menjalankan kerja menyelam ke dasar sungai dan mengeluarkan mangsa terperangkap.
Mayat mangsa yang belum diketahui identiti itu dikeluarkan dari bahagian kerusi pemandu dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
“Setakat ini siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar yang menyebabkan berlaku insiden ini,” katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Miri bagi tujuan pemeriksaan dan bedah siasat. Orang ramai yang mempunyai ahli keluarga yang tidak pulang ke rumah diminta menghubungi PDRM bagi tujuan pengecaman identiti.
BACA >>> Ingatkan Tidur, Dua Remaja Ditemui Maut Berbaring dalam Kereta
SUMBER: HMetro
Leave a Reply