SEBELUM Proton e.Mas 7 didedahkan secara rasmi, kembarnya Geely EX5 terlebih dahulu diperkenal di Eropah dan ditayangkan kepada beberapa media antarabangsa.
Malah, Geely Galaxy E5 dipamerkan secara rasmi di Pusat Kecemerlangan Proton (COE) sempena jelajah dunia pada September 2024. Pada bulan sama kami turut melaporkan mengenai hasrat Geely untuk EX5 dilancarkan di Australia, Thailand dan Indonesia.
Beberapa bulan berlalu dan EX5 sudah pun dilancarkan di Thailand pada 28 November 2024. Serentak itu, Geely Auto turut mengumumkan perlantikan Thonburi Neustern sebagai pengedar rasmi di Thailand.
Dua varian ditawarkan, iaitu Pro dan Max dengan 1,084 unit pertama ditawarkan pada harga 859,000 baht (RM112,470) dan 949,000 baht (RM124,295).
Unit ke-1,085 dan seterusnya berharga 899,000 baht (RM117,770) dan baht (RM129,560).
Kedua-duanya dibekalkan motor tunggal depan berkuasa 160kW (218ps) dan tork 320Nm berserta bateri LFP 60.22kWj. dengan jarak pemanduan Pro hingga 495km, manakala 490km untuk Max (mengikut kitaran NEDC).
Menariknya, dalam tempoh tiga hari diperkenalkan pada pameran kenderaan di sana, lebih 100 unit EX5 sudah ditempah.
Perkembangan di Indonesia pula, Geely pada 3 Disember lalu mengumumkan perlantikan lima pengedar rasmi di pasaran automotif terbesar Asia Tenggara.
Geely turut membawa delegasi pengedar Indonesia ke ibu pejabat di Hangzhou, China dan melawat pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan kilang pengeluaran Qiantang selain diberi peluang memandu uji EX5.
Pengarah Urusan Geely Auto Indonesia, Victor Gao memaklumkan dalam tempoh tiga tahun akan datang, syarikat merancang memperkenalkan 5-7 model untuk pasaran republik itu.
Model tersebut terdiri daripada kenderaan utiliti sukan (SUV), kenderaan pelbagai guna (MPV), kenderaan bateri elektrik (BEV), kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV) dan kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) bagi memenuhi pelbagai segmen berbeza.
Kemasukan Geely ke Indonesia sebenarnya kali kedua selepas berbelas tahun berlalu. Ini termasuk pernah memasang kenderaan di negara jiran itu.
Seperkara lagi, Indonesia mempunyai jenama sendiri terbaharu, iaitu Aletra dengan produk pertama, L8 EV yang dijenamakan semula daripada Livan Maple 80V.
MPV ini boleh dianggap salinan daripada Geely Jiaji versi EV. Livan Automotive pula hasil penggabungan antara Shanghai Maple milik Geely dan Lifan Technology, termasuk usahasama antara Lifan Group dan Geely Qizheng milik Zhejiang Geely Holding.
Dengan perkembangan terbaharu di Thailand dan Indonesia, termasuk pasaran lain seperti Australia dan New Zealand dengan pemanduan kanan (RHD), mungkin ada tertanya apa sudah jadi antara Geely dan Proton serta rancangan pelaburan besar di Tanjung Malim, Perak?
Kami tiada jawapan tepat dan perkara ini perlu dipandang dari sudut strategi keseluruhan, perniagaan dan sumber. Jawapan terletak pada masa dan model perniagaan multijenama adalah situasi biasa buat pengeluar China dan sebelum itu turut dilakukan pengeluarEropah.
Seperti dilaporkan di dalam artikel sebelum ini, Geely diwakili pelbagai jenama di Eropah seperti Volvo, Zeekr, Lynk & Co, Polestar, Lotus dan smart.
Leave a Reply