![]()
LAMBRETTA Malaysia mengumumkan pelan hala tuju paling agresif sejak kemunculan semula di pasaran tempatan, dengan 2026 dijangka menjadi fasa pengembangan terbesar jenama skuter ikonik Itali itu.
Strategi berkenaan merangkumi pelancaran model baharu, peluasan rangkaian pengedar, pengenalan barangan rasmi, pengukuhan komuniti, percubaan rekod rasmi Asean dan Asia di Litar Antarabangsa Petronas Sepang.
Pengumuman itu dibuat susulan sambutan luar biasa sejak Lambretta dilancarkan semula di Malaysia pada Julai 2024, dengan jualan yang dilaporkan jauh melepasi unjuran awal.
Permintaan tinggi daripada penunggang bandar, penggemar gaya hidup serta pengumpul meletakkan Lambretta sebagai antara jenama skuter premium paling menonjol di pasaran tempatan.
Model Baharu Dijangka Tiba Tahun Ini
Memanfaatkan momentum kukuh itu, Lambretta Malaysia merancang memperkenal dua hingga lima model baharu sepanjang 2026. Model berkenaan dijangka tampil dengan teknologi terkini, peningkatan prestasi dan pendekatan rekabentuk retro-moden yang kekal menjadi DNA jenama itu.
Langkah berkenaan dilihat bertujuan meluaskan penawaran Lambretta bagi memenuhi keperluan penunggang yang semakin pelbagai, merangkumi kegunaan harian, gaya hidup premium dan pasaran kolektor yang semakin berkembang di Malaysia.
Rangkaian Diperluas Hingga 20 Lokasi Seluruh Negara

Bagi menyokong pertumbuhan jualan dan memastikan perkhidmatan selepas jualan lebih menyeluruh, Lambretta Malaysia menyasarkan penubuhan 15 hingga 20 lokasi seluruh negara menjelang akhir 2026. Rangkaian itu merangkumi bilik pameran utama, pusat servis khas dan lokasi pop-up.
Negeri-negeri seperti Kedah, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Kelantan dikenal pasti sebagai antara destinasi peluasan seterusnya, sekali gus menjadikan pengalaman pemilikan Lambretta lebih mudah diakses pelanggan di seluruh Semenanjung.
Barangan Rasmi Lambretta

Selain produk kenderaan, Lambretta Malaysia turut merancang pelancaran koleksi barangan rasmi eksklusif pada 2026. Koleksi itu merangkumi pakaian, aksesori, helmet dan produk gaya hidup yang diilhamkan daripada warisan jenama lebih 75 tahun.
Langkah ini bukan saja menambah nilai kepada peminat setia, tetapi mengukuhkan identiti Lambretta sebagai jenama gaya hidup, bukan sekadar pengeluar skuter semata-mata.
Komuniti Lambrettista Jadi Teras Strategi

Pengukuhan komuniti penunggang atau 'Lambrettista' turut menjadi fokus utama. Sepanjang 2026, pelbagai aktiviti seperti konvoi berkumpulan, bengkel teknikal, pertandingan ubah suai dan acara rentas sempadan Asean dirancang untuk dianjurkan.
Kerjasama dengan kelab tempatan dan antarabangsa dijangka memperluas jaringan serantau, selain memupuk budaya tunggangan selamat dan semangat komuniti dalam kalangan pemilik Lambretta.
Sasaran Rekod Asean, Asia di Litar Sepang

Kemuncak pelan 2026 Lambretta Malaysia adalah percubaan mencipta rekod rasmi Asean dan Asia di Litar Antarabangsa Petronas Sepang pada 11 Januari 2026.
Acara itu akan menghimpunkan ratusan pemilik Lambretta sempena Casa Lambretta Malaysia Launch dan Lambrettista Mega Gathering.
Selain percubaan rekod himpunan skuter Lambretta terbesar di Asean, acara berkenaan turut menampilkan sesi tunggangan penuh di litar, pameran, hiburan langsung dan pelancaran rasmi Casa Lambretta Malaysia sebagai hab rujukan alat ganti, aksesori dan warisan jenama.
Pendaftaran kini dibuka dengan penyertaan terhad, menjadikan acara itu antara detik paling bersejarah buat Lambretta di Malaysia.


Leave a Reply