KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan perkhidmatan tambang percuma selama dua hari bermula 10 Februari ini, sempena sambutan Thaipusam.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, tawaran itu terpakai kepada penumpang KTM Komuter Lembah Klang yang menggunakan imbasan keluar melalui pintu automatik (ACG) yang akan beroperasi 24 jam selama empat hari bermula Ahad.
Loke juga memaklumkan jadual perjalanan bagi laluan Pelabuhan Klang-Tanjung Malim-Pelaburan Klang akan diselaraskan mengikut keperluan sepanjang sambutan.
Inisiatif tersebut bertujuan memenuhi permintaan penumpang, terutama penganut Hindu yang mahu menyaksikan sambutan Thaipusam di Batu Caves.
KTMB menjangka lebih 500,000 pengguna akan memanfaatkan perkhidmatan ini, dengan peningkatan 10 peratus berbanding tahun lalu dengan kemuncak perjalanan dijangka pada 11 Februari.
Selain itu, 494 perjalanan tren tambahan akan disediakan sepanjang empat hari tersebut melibatkan beberapa laluan utama seperti:
- Batu Caves-Pulau Sebang-Batu Caves
- Batu Caves-Pelabuhan Klang-Batu Caves
- KL Sentral-Batu Caves-KL Sentral
Tren tambahan itu akan beroperasi selepas tren terakhir pada setiap hari dengan kekerapan lebih baik, terutama buat pengguna dari KL Sentral.
Sementara itu, Rapid KL juga menyediakan perkhidmatan shuttle percuma ke Batu Caves, manakala Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Penang Port Sdn Bhd menawarkan perkhidmatan feri percuma sepanjang dua hari perayaan.
Di Johor Bahru, Seremban, dan Ipoh, BAS.MY turut menyediakan perkhidmatan bas percuma untuk memudahkan penganut Hindu ke lokasi perayaan pada 11 Februari nanti.
SUMBER: KTMBerhad
Leave a Reply