Sempena sambutan perayaan Deepavali pada 20 Oktober ini, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan penawaran dua tren elektrik (ETS) tambahan bagi laluan Padang Besar - KL Sentral dan sebaliknya.
Menurut kenyataan rasmi, perkhidmatan tambahan ini akan beroperasi selama enam hari berturut-turut bermula 17 hingga 22 Oktober 2025, dengan jualan tiket mula dibuka pada Selasa, jam 10 pagi.
630 Tempat Duduk Tambahan Sehari
KTMB memaklumkan bahawa tren tambahan ini menawarkan 630 tempat duduk sehari, termasuk koc kelas perniagaan. Secara keseluruhan, sebanyak 3,780 tempat duduk tambahan disediakan sepanjang tempoh operasi tersebut.
Langkah itu bertujuan menampung permintaan tinggi ketika musim perayaan, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan trafik jalan raya bagi mereka yang ingin pulang ke kampung halaman.
Jadual Perjalanan Tren Tambahan
- Padang Besar - KL Sentral: Berlepas jam 11.05 pagi, tiba jam 4.30 petang
- KL Sentral - Padang Besar: Berlepas jam 5.00 petang, tiba jam 10.20 malam
Saranan Buat Penumpang
KTMB menyarankan orang ramai supaya membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau laman web rasmi KTMB. Pembayaran menggunakan KTM Wallet turut digalakkan bagi mempercepatkan proses pembelian.
Selain itu, penumpang juga disaran:
- Membuat pembelian tiket lebih awal untuk menikmati tambang fleksi lebih jimat.
- Mengelakkan pembelian saat akhir yang berisiko tiket habis.
- Hadir di stesen sekurang-kurangnya 30 minit sebelum tren berlepas kerana pintu masuk akan ditutup 5 minit sebelum waktu pelepasan.
Orang ramai boleh melayari laman rasmi www.ktmb.com.my atau hubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-9779 1200untuk sebarang pertanyaan lanjut.
Pilihan Bijak Pulang Beraya Dengan ETS
Penawaran dua tren ETS tambahan sempena Deepavali ini jelas memberi lebih banyak pilihan kepada rakyat untuk pulang ke kampung halaman dengan selesa dan cepat.
Selain membantu mengurangkan kesesakan jalan raya, penggunaan tren juga lebih mesra alam dan menjimatkan masa. Jadi, rancang perjalanan anda lebih awal dan pastikan tiket dibeli segera sebelum habis terjual!
SUMBER: AstroAwani
Leave a Reply