
KTM memperkenalkan KTM 890 Adventure R Rally 2026 yang hadir dengan unit terhad untuk pasaran dunia. Jentera ini merupakan ekspresi paling tajam bagi kejuruteraan rali KTM yang dibangunkan daripada DNA juara Dakar.
Ia diletakkan sebagai jentera advencer kelas pertengahan yang paling berorientasikan prestasi dalam segmennya.

Walaupun model KTM 890 Adventure R sudah menjadi penanda aras bagi prestasi kembara off-road, varian Rally direka khas untuk penunggang yang mahukan suspensi tahap kilang, ergonomik spesifikasi rali dan komponen tanpa kompromi terus dari bilik pameran.
Dibina untuk menakluk dan bukannya sekadar merentasi rupa bumi, model ini mendapat inspirasi langsung daripada jentera rali Red Bull KTM Factory Racing.
Suspensi WP Pro Components

Sistem suspensi jentera ini diambil terus daripada program perlumbaan WP Pro Components yang membawakan teknologi perlumbaan sebenar ke segmen advencer dan bukannya sekadar komponen jalanan yang diubah suai.
Fork WP Xplor Pro yang ringan dengan teknologi Cone Valve berfungsi harmoni dengan penyerap hentak WP Xplor Pro.
Gabungan ini memberikan jarak gerak roda 270 mm yang unggul dalam kelasnya serta prestasi redaman luar biasa di kawasan rupa bumi yang paling ekstrem.
Walaupun menawarkan kawalan bahagian hadapan yang mantap dan rintangan hentakan bawah yang cemerlang, aspek keselesaan tetap diutamakan bagi memberikan kestabilan serta ketenangan ketika memecut, walaupun dimuati beg bagasi atau penumpang.
Trenkuasa dan Mod Rally

Nadi jentera ini adalah enjin 889 cc parallel twin kompak yang menghasilkan 106 ps dan tork 100 Nm pada 6,500 rpm.
Fokus rali motosikal ini diperkukuhkan lagi dengan sistem elektronik canggih termasuk Offroad ABS, pelbagai mod tunggangan termasuk Rally Mode, Traction Control, dan Motor Slip Regulation.
Penunggang boleh melaras prestasi secara langsung melalui paparan TFT 5 inci yang dilengkapi dengan Connectivity Unit serta navigasi Turn-by-Turn+.
Reka Bentuk dan Waranti Premium

Dari sudut visual, edisi 2026 ini menampilkan reka bentuk baharu yang diinspirasikan oleh Red Bull KTM Factory Racing serta dilengkapi ekzos Akrapovič Slip-on Line.
Penampilan ini mengimbas kembali jentera juara Dakar sebelum ini untuk menghasilkan motosikal yang sedia menghadapi sebarang rupa bumi.

Bagi menambah keyakinan terhadap prestasi, KTM 890 Adventure R Rally 2026 didatangkan dengan KTM Premium Manufacturer’s Warranty yang baru diperkenalkan.
Penunggang akan mendapat manfaat perlindungan sehingga 4 tahun yang disokong oleh reliabiliti KTM yang terbukti di litar lumba. Untuk memastikan waranti kekal sah, servis berkala mesti dijalankan mengikut pelan servis di pengedar sah KTM.
KTM 890 Adventure R Rally 2026 akan mula dikeluarkan di Austria pada bulan Mac.
Spesifikasi Utama KTM 890 Adventure R Rally
- Enjin 889 cc parallel twin (106 ps / 100 Nm)
- Suspensi WP Xplor Pro (jarak 270 mm)
- Ekzos Akrapovič Slip-on Line
- Pelana rali dan pemijak Factory Racing Footpegs
- Tech Pack merangkumi Rally Mode, Quickshifter+, Cruise Control dan Motor Slip Regulation
- Offroad ABS dan pelbagai Mod Tunggangan
- Skrin TFT 5 inci dengan navigasi Turn-by-Turn+
- Roda Heavy-Duty (2.15×21 inci; 4.00×18 inci)
- Pelindung tangki karbon
- Sproket belakang Supersprox-Stealth
- Grafik rali baharu dengan reka bentuk tangki bahan api dua warna
- KTM Premium Manufacturer’s Warranty hingga 4 tahun













