
KIA India secara rasmi mengumumkan harga bagi Kia Seltos serba baharu yang kini memasuki generasi kedua.
Model ini tampil dengan dimensi lebih besar serta rekaan lebih menonjol bagi menetapkan tanda aras baharu dalam segmen SUV saiz pertengahan di pasaran India.
Rekaan Luaran Lebih Dominan dan Progresif

Kia Seltos serba baharu dibina berasaskan falsafah reka bentuk Opposites United yang memberikan identiti SUV moden dan berkeyakinan.
Bahagian hadapan menampilkan rekaan Digital Tiger Face yang dipadankan dengan lampu hadapan LED jenis Ice Cube serta fungsi Dynamic Welcome.
Di antara ciri unik yang pertama kali diperkenalkan dalam segmen ini ialah pembuka pintu jenis Automatic Streamline yang rata dengan badan kenderaan.

Profil sisi diserlahkan lagi dengan penggunaan rim aloi Sporty Crystal Cut bersaiz 18 inci yang dilengkapi kaliper brek berwarna Neon.
Di bahagian belakang pula terdapat spoiler yang disepadukan bersama pengelap cermin jenis tersembunyi.
Pelanggan ditawarkan dengan 10 pilihan warna tunggal termasuk dua warna baharu iaitu Morning Haze dan Magma Red.
Kabin Premium Teraju Teknologi Digital

Ciri utama yang paling menonjol ialah Trinity Panoramic Display bersaiz 30 inci yang menggabungkan panel instrumen dan sistem infotainmen dalam satu paparan melengkung.
Untuk hiburan ia dilengkapi sistem audio premium Bose dengan 8 pembesar suara. Ciri lain termasuk fungsi Smart Key Proximity Unlock untuk akses mudah tanpa kunci serta sokongan tanpa wayar untuk Android Auto dan Apple CarPlay.
Keselesaan pemandu turut ditingkatkan melalui kerusi berkuasa 10 arah dengan pelarasan lumbar serta fungsi memori yang diselaraskan dengan tetapan cermin sisi atau ORVM.
Kabin Seltos juga dilengkapi kerusi hadapan dengan sistem pengudaraan serta bumbung suria panoramik dua panel.
Platform Global K3 dan Keselamatan ADAS Tahap 2

Seltos serba baharu ini merupakan model pertama di India yang menggunakan platform global K3 Kia. Seni bina baharu ini meningkatkan ketegaran struktur keselesaan pemanduan serta penebat bunyi yang lebih baik.
Dari aspek keselamatan Kia melengkapi SUV ini dengan 24 ciri keselamatan standard termasuk 6 beg udara, Sistem Brek Anti kunci atau ABS dan Kawalan Bantuan Mula Daki atau HAC.
Selain itu ia dilengkapi sistem ADAS Tahap 2 yang merangkumi 21 ciri autonomi bagi memberikan bantuan pemanduan yang lebih meyakinkan dalam pelbagai keadaan jalan raya.

Rangkaian Kuasa Pasaran India
Kia India menawarkan tiga pilihan enjin utama iaitu petrol aspirasi semula jadi petrol turbo dan diesel.
-
Enjin Smartstream G1.5 Petrol: Menghasilkan kuasa yang lancar untuk pemanduan bandar dipadankan dengan pilihan transmisi manual 6 kelajuan (6MT) atau transmisi boleh laras pintar (IVT).
-
Enjin Smartstream G1.5 T-GDI Petrol Turbo: Enjin prestasi tinggi yang menawarkan kuasa lebih dinamik tersedia dengan pilihan transmisi manual pintar (6iMT) atau transmisi klac berkembar 7 kelajuan (7DCT).
-
Enjin 1.5L CRDi VGT Diesel: Fokus kepada tork tinggi dan penjimatan bahan api untuk perjalanan jarak jauh ditawarkan dengan transmisi manual 6 kelajuan (6MT) atau transmisi automatik 6 kelajuan (6AT).
Info Harga dan Pasaran

Harga jualan bagi Kia Seltos serba baharu di India bermula daripada 1,099,000 Rupee (RM47,367) bagi varian asas HTE petrol sehingga 1,999,000 Rupee (RM86,157) bagi varian tertinggi X-Line petrol turbo dan diesel automatik.
Model ini dikilangkan di Anantapur, India. Perlu dinyatakan bahawa harga kenderaan di India secara umumnya adalah rendah dan tidak boleh disamakan dengan pasaran luar.
Perbezaan ini disebabkan oleh dinamika tempatan yang unik seperti kos pengeluaran domestik, struktur cukai, serta polisi automotif negara tersebut yang berbeza dengan duti import dan cukai di pasaran lain.
Untuk makluman, Seltos pernah ditawarkan di pasaran tempatan dan dengan kehadiran pengurusan baharu Kia Sales Malaysia, adakah ia bakal kembali?

Spesifikasi Teknikal Kia Seltos India 2026
- Platform: Global K3
- Dimensi: Panjang 4,460 mm / Lebar 1,830 mm / Jarak roda 2,690 mm
- Enjin: Smartstream G1.5 Petrol / Smartstream G1.5 T-GDI Petrol Turbo / 1.5L CRDi VGT Diesel
- Jenis transmisi: 6MT, 6iMT, IVT, 7DCT, 6AT
- Paparan: Trinity Panoramic 30 inci
- Sistem Audio: Bose 8 pembesar suara
- Rim Aloi: 18 inci
- Sistem Keselamatan: ADAS Tahap 2 dengan 21 ciri autonomi, 6 beg udara standard






















