TAHUKAH anda? Pasaran kereta di Jepun sukar untuk ditembusi pengeluar asing dan mencabar untuk mengekalkan keberadaannya.
Di antara cabaran yang perlu dihadapi ialah persaingan sengit, dinamika pasaran, citarasa pengguna, peraturan keselamatan dan emisi dan rangkaian jualan dan khidmat selepas jualan.
Bagaimanapun, cabaran tersebut berjaya diuruskan oleh beberapa pengeluar asing dan menariknya Proton Satria Neo pernah dijual di sana.
Satu daripada pengeluar yang menjual kereta di sana ialah Hyundai selepas mengundur diri pada 2014. Hyundai kembali pada 2022 dan setakat ini menawarkan kenderaan elektrik (EV) seperti Ioniq 5 dan Ioniq 5 N, Kona dan Kona N Line dan menariknya model hidrogen Nexo FCEV.
Terbaru Kia memaklumkan model Platform Beyond Vehicle (PBV) bakal ditawarkan di Jepun pada awal 2026 dan telah menandatangani perjanjian dengan firma tempatan, Sojitz.
Pengembangan ke pasaran Jepun merupakan salah satu tonggak penting terbaru dalam strategi PBV global Kia selepas model konsep dan ekosistem PBV dipamerkan dan dibentangkan di Las Vegas, Busan dan Frankfurt.
Kia bakal membangunkan siri PBV khusus bagi memenuhi keperluan pelanggan di Jepun. Model pertama ialah PV5 dan kini sedang dibangunkan sebagai model saiz sederhana bagi menepati keperluan pasaran di sana.
Kia turut merancang membangunkan ekosistem PBV melalui kerjasama dan perkongsian dengan pelbagai syarikat setempat. Sebuah lagi model iaitu PV7 menyusul selepas PV5.
PBV adalah sebuah kenderaan yang boleh dikeluarkan dalam pelbagai bentuk mengikut kegunaan pelanggan dan dibangunkan dari pelantar PBV-EV khusus.
Bagi memenuhi permintaan global, Kia sedang membina Kilang EVO baharu yang canggih di Hwaseong, Korea yang juga kilang PBV-EV khusus pertama syarikat.
Operasi Kia di Jepun:
- Kerjasama dengan Sojitz dijangkakan dapat meningkatkan kesedaran jenama dan meningkatkan jualan.
- Sojitz ialah satu daripada syarikat perdagangan umum utama di Jepun dan mempunyai perniagaan di peringkat antarabangsa dalam pelbagai bidang seperti jualan kenderaan, tenaga, logam, kimia, makanan dan pengedar Kia di Panama.
- PV5 akan mula dijual di Jepun melalui rangkaian Sojitz pada 2026.
- Langkah pertama tertumpu pada pasaran van EV di Jepun dengan jangkaan permintaan akan terus berkembang dan meneruskan kerjasama dengan syarikat tempatan yang berkaitan bagi menghidupkan pasaran dan mewujudkan ekosistem PBV melalui pelbagai kerjasama pada masa depan.
- PV5 dilengkapi kaedah pengecasan CHAdeMO seperti EV lain di Jepun selain teknologi Vehicle-to-Everything atau V2X dengan pengecasan dua hala.
- PV5 akan menjadi pentas untuk Kia menonjolkan perniagaan dan gaya hidup baharu kepada pelanggan.
- Sebelum memulakan jualan PBV pada awal 2026, Kia akan giat mempromosikan model dan ekosistem perniagaan PBV di pameran mobiliti dan membolehkan pengguna merasainya sendiri secara langsung.
Leave a Reply