![]()
INDIAN Motorcycle terus meluaskan barisan Scout 2026 dengan memperkenalkan Indian Sport Scout Sixty dan Sport Scout Sixty RT, iaitu dua model baharu yang menyasarkan penunggang yang mahukan gabungan gaya agresif, prestasi moden dan kemudahan tunggangan harian.
Kehadiran model itu melengkapkan barisan Scout Sixty sedia ada yang terdiri daripada Scout Sixty Bobber dan Scout Sixty Classic.
Pendekatan baharu itu menunjukkan strategi Indian Motorcycle untuk menawarkan variasi Scout lebih luas, merangkumi gaya sport, urban dan touring ringan tanpa mengorbankan identiti V-twin Amerika yang menjadi teras jenama itu.
Sport Scout Sixty - Lebih Agresif dan Mudah Dikendali
Indian Sport Scout Sixty tampil dengan posisi tunggangan lebih sporty berbanding varian Scout Sixty lain. Model itu didatangkan terus dari kilang dengan bar hendal Mini Ape bersama riser bersepadu, yang bukan saja menambah elemen visual agresif, tetapi meningkatkan kawalan dan ergonomik untuk tunggangan lebih dinamik.
Digandingkan pelana gaya sports dan fairing suku, model itu disasarkan kepada penunggang yang mahukan motosikal gaya moden, mudah diurus dan sesuai untuk kegunaan harian di bandar.
Rekabentuk itu juga memberi perlindungan angin minimum tanpa menjejaskan siluet klasik Scout. Dengan ketinggian pelana rendah, Sport Scout Sixty kekal mesra penunggang pelbagai ketinggian, yang menjadikan model itu antara paling mudah diakses dalam segmen cruiser prestasi sederhana.
Sport Scout Sixty RT, Sporty dengan Keupayaan Jelajah
Bagi penunggang yang mahukan lebih fleksibiliti perjalanan jauh, Indian Sport Scout Sixty RT hadir sebagai pilihan lebih praktikal.
Varian itu dilengkapi beg sisi keras berkunci dengan kapasiti 37 liter, sesuai untuk kegunaan harian, perjalanan hujung minggu atau jelajah jarak sederhana. Pelana sport solo pada versi RT direka dengan sokongan bahagian belakang lebih baik, meningkatkan keselesaan penunggang untuk tempoh tunggangan lebih lama tanpa mengorbankan gaya sporty keseluruhan motosikal.
Menariknya, Sport Scout Sixty RT turut menerima Indian Motorcycle Limited +Tech trim, yang menawarkan sambungan Bluetooth kepada telefon pintar dan navigasi belok demi belok (turn-by-turn) yang dipaparkan terus pada panel meter. Ciri itu jarang ditawarkan dalam segmen cruiser sport, sekali gus meningkatkan nilai praktikal motosikal tersebut.
Ergonomik, Kawalan

Kedua-dua varian Indian Sport Scout Sixty mengekalkan ketinggian pelana rendah, yang membolehkan penunggang memijak bumi dengan yakin ketika berhenti. Kawalan kaki tengah pula meletakkan kaki penunggang tepat di bawah segi tiga ergonomik, menawarkan kawalan lebih baik ketika mengambil selekoh dan kestabilan ketika menunggang pada halaju tinggi.
Gabungan ergonomik itu menjadikan Sport Scout Sixty dan Sixty RT sesuai untuk penunggang baharu yang mahu menaik taraf ke motosikal lebih besar, dan penunggang berpengalaman yang mahukan cruiser sporty yang tidak terlalu menunduk.
Enjin V-Twin 1,250cc Kekal Jadi Teras

Kuasa bagi kedua-dua model datang daripada enjin V-twin 1,250cc Indian Motorcycle, yang menghasilkan 105hp dan tork 108Nm @ 6,300rpm serta dipadankan transmisi manual 6-kelajuan serta pacuan tali sawat (belt drive), untuk hantaran kuasa lancar, responsif dan rendah senggara.
Angka prestasi itu meletakkan Sport Scout Sixty dan Sixty RT antara cruiser paling berkuasa dalam kelas, sesuai untuk tunggangan santai atau pecutan agresif di lebuh raya.
Potensi Harga, Pasaran Malaysia

Di Malaysia, barisan Indian Scout kini bermula dengan Scout Bobber pada harga RM103,900, dan model lebih prestasi seperti 101 Scout berkuasa 111hp (RM139,600).
Berdasarkan kedudukan pasaran, Sport Scout Sixty dan Sport Scout Sixty RT dijangka diletakkan antara julat harga itu sekiranya dibawa masuk ke pasaran tempatan.
Kehadiran dua model baharu tersebut berpotensi mengukuhkan kedudukan Indian Motorcycle dalam segmen cruiser premium di Malaysia, terutama buat penunggang yang mahukan alternatif kepada cruiser klasik dengan sentuhan sport dan teknologi moden.
Dengan gabungan rekabentuk agresif, prestasi V-twin mantap dan ciri praktikal, Indian Sport Scout Sixty dan Sport Scout Sixty RT edisi 2026 dilihat langkah strategik Indian Motorcycle untuk menarik generasi penunggang baharu tanpa mengabaikan peminat setia jenama itu.
SUMBER: VisorDown






















Leave a Reply