PENGEDAR rasmi motosikal Honda di Malaysia, Boon Siew Honda (BSH) terus memperkukuh reputasi dalam segmen skuter advencer menerusi pengenalan Honda X-ADV 2026 versi terkini yang tampil dengan pendekatan lebih lestari.
Model itu bukan saja membawa imej lebih agresif dengan pilihan warna baharu Matte Pearl Glare White (putih), malah menjadi antara model terawal menggunakan material biojisim (biomass) dalam komponen utama.
Sebagai skuter advencer premium, Honda X-ADV kekal unik dalam kelas dengan gabungan keselesaan skuter, keupayaan kembara (touring) dan sentuhan lasak motosikal advencer.
Rekaan grafik jalur tebal dan blok warna solid menyerlahkan lagi identiti lasak yang sudah sinonim dengan model tersebut.
Inovasi Lestari dengan Durabio™
Selari aspirasi ‘Circular Design‘, Honda X-ADV menggunakan material Durabio™ berasaskan tumbuhan pada fairing dan visor angin (windscreen) terpilih.
Material bioplastik bukan saja lebih mesra alam, tetapi menawarkan ketahanan calar tinggi tanpa memerlukan lapisan cat tambahan.
Pendekatan itu bukan sekadar kosmetik, tetapi menunjukkan hala tuju Honda dalam mengurangkan impak karbon dan penggunaan bahan konvensional dalam pembuatan motosikal premium.
Prestasi 745cc dengan DCT
Dikuasakan enjin 2-silinder sebaris Parallel-Twin 745cc SOHC penyejukan cecair, Honda X-ADV menghasilkan 43kW (58hp) @ 6,750rpm dan tork 69Nm @ 4,750rpm.
Karakter kuasa padu pada julat pertengahan menjadikan skuter itu sesuai untuk tunggangan bandar atau perjalanan jauh.
Transmisi jenis dual-klac (DCT) memastikan anjakan gear lebih lancar, terutama pada halaju rendah seperti dalam trafik sesak atau ketika membuat pusingan U.
Ada juga sistem terotal elektronik Throttle By Wire (TBW) dan pilihan kawalan traksi Honda Selectable Torque Control (HSTC) untuk kawalan lebih optimum atas pelbagai kondisi permukaan jalan.
Ciri Premium, Teknologi Moden
Sistem lampu LED kembar menampilkan rekabentuk ‘Hidden Eye‘ dengan projektor dwi-lensa yang menonjolkan identiti lampu siang (DRL) tersendiri.
Dari sudut praktikaliti, Honda X-ADV menawarkan ruang simpanan bawah pelana 22 liter, yang lengkap dengan pembahagi barang.
Antara ciri lain ialah Kawalan Jelajah untuk tunggangan lebuh raya, visor angin boleh laras sebelah tangan dan panel meter TFT 5 inci yan disepadu aplikasi Honda RoadSync.
Penunggang juga boleh memilih empat mod tunggang praset dan dua mod USER yang boleh disesuaikan, selain sistem kunci pintar Smart Key untuk kemudahan harian.
Warna, Harga dan Jaminan
Honda X-ADV ditawarkan dalam pilihan tiga warna:
- Matte Pearl Glare White (putih) – RM71,999
- Matte Deep Mud Gray (kelabu) – RM70,999
- Graphite Black (hitam) – RM70,999
Harga diatas adalah harga cadangan, tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.
BSH menyediakan waranti pengilang dua [2] tahun atau 20,000km (mana satu tiba dulu). Tempahan kini dibuka mulai, model tersebut dijangka berada di semua bilik pameran Honda BigWing seluruh negara menjelang penghujung Mei 2026.


































