
PENGEDAR motosikal, Boon Siew Honda, terus memperkukuh reputasinya dalam segmen ‘crossover scooter’ menerusi pengenalan Honda X-ADV versi terkini yang tampil dengan pendekatan lebih lestari. Model ini bukan sahaja membawa imej lebih agresif dengan pilihan warna baharu Matte Pearl Glare White, malah menjadi antara model terawal yang mengaplikasikan material biomassa dalam komponen utamanya.
Sebagai skuter adventure premium, X-ADV kekal unik dalam kelasnya – menggabungkan keselesaan skuter, keupayaan touring dan sentuhan lasak ala motosikal ADV. Rekaan grafik berjalur tebal serta blok warna solid menyerlahkan lagi identiti rugged yang sudah sinonim dengan model ini.
Inovasi Lestari dengan Durabio™
Selari dengan aspirasi “Circular Design” Honda, X-ADV menggunakan material Durabio™ berasaskan tumbuhan pada bahagian fairing dan windscreen terpilih. Material bioplastik ini bukan sahaja lebih mesra alam, malah menawarkan ketahanan calar tinggi tanpa memerlukan lapisan cat tambahan.
Pendekatan ini bukan sekadar kosmetik, tetapi menunjukkan hala tuju Honda dalam mengurangkan impak karbon serta penggunaan bahan konvensional dalam pembuatan motosikal premium mereka.
Prestasi 745cc dengan DCT
Dikuasakan enjin Parallel-Twin 745cc, X-ADV menghasilkan 43kW (sekitar 58hp) pada 6,750rpm dan tork maksimum 69Nm pada 4,750rpm. Karakter kuasa yang padat pada julat pertengahan menjadikannya sesuai untuk tunggangan bandar mahupun perjalanan jauh.
Sistem Dual Clutch Transmission (DCT) memastikan penukaran gear lebih lancar, khususnya pada kelajuan rendah seperti dalam trafik sesak atau ketika membuat pusingan U. Ia turut dilengkapi Throttle By Wire (TBW) dan Honda Selectable Torque Control (HSTC) untuk kawalan lebih optimum dalam pelbagai situasi permukaan jalan.
Ciri Premium dan Teknologi Moden
Sistem pencahayaan LED berkembar menampilkan rekaan “Hidden Eye” dengan projektor dwi-lensa yang menonjolkan identiti DRL tersendiri. Dari sudut praktikaliti, X-ADV menawarkan ruang simpanan bawah tempat duduk sebesar 22 liter lengkap dengan pembahagi barang.
Antara ciri lain termasuk Cruise Control untuk tunggangan lebuh raya, pelindung angin boleh laras menggunakan sebelah tangan serta paparan TFT 5-inci dengan integrasi Honda RoadSync. Penunggang juga boleh memilih empat mod tunggangan pratetap serta dua mod USER yang boleh disesuaikan, selain sistem Smart Key untuk kemudahan harian.
Warna, Harga dan Jaminan

Honda X-ADV ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Matte Pearl Glare White (RM71,999), Matte Deep Mud Gray (RM70,999) dan Graphite Black (RM70,999). Harga yang dinyatakan adalah harga cadangan bilik pameran dan tidak termasuk cukai jalan, insurans serta pendaftaran.
Boon Siew Honda menyediakan jaminan pengilang selama dua tahun atau 20,000km, yang mana terdahulu. Tempahan dibuka mulai hari ini dan model ini dijangka berada di semua bilik pameran Honda BigWing seluruh negara menjelang penghujung Mei 2026.
























