JIKA dibuat kiraan, terlalu ramai yang membesar dengan Honda Cub. Sama ada untuk bekerja, berniaga, belajar atau bersiar-siar.
Honda Cub juga berjaya menjadi objek sosioekonomi. Untuk pelanggan di Jepun, Honda memperkenalkan Super Cub 50 Final Edition.
Namanya seperti menggambarkan sesuatu dan memang benar, Super Cub 50 dengan enjin 50cc akan ditamatkan.
Super Cub 50 Final Edition hadir dalam warna Bonnie Blue dan mengingatkan kepada Super Cub yang lama.
Emblem depan, belakang dan kunci dibuat dalam rekaan khas manakala rak belakang, penutup rantai dan lengan ayun mengggunakan warna biru seperti badan.
Bingkai meter berwarna krom dan begitu juga pelindung ekzos (hitam pada Super Cub 50 biasa). Pelana dibalut dua warna dan juga seperti model lama.
Di sebalik berita tentang penamatan, Honda akan terus menjual Super Cub 110, 110 Pro, Cross Cub 110 dan Super Cub C125.
Tempahan untuk Super Cub 50 Final Edition dibuka dari 8 sehingga 24 November 2024. Harga yang ditawarkan ialah 297,000 yen (RM8,526).
Spesifikasi Super Cub 50:
- Model: Honda 2BH-AA09.
- Ukuran: 1,860 (p) × 695 (l) × 1,040 (t) mm.
- Jarak roda: 1,210 mm.
- Kelegaan bumi: 135 mm.
- Tinggi pelana: 735 mm.
- Berat: 96 kg.
- Enjin: AA04E 49cm³, 4 lejang, OHC, silinder tunggal, sejukan udara.
- Sistem bekalan api: PGM-FI.
- Gear: 4 kelajuan.
- Kuasa: 3.7ps@7,500 rpm, 3.8Nm@5,500 rpm.
- Tayar: 60/100-17M/C 33P (depan), 60/100-17M/C 33P (belakang).
Leave a Reply