
Honda Step WGN bakal mencecah usia 30 tahun sejak pengenalan generasi pertama pada Mei 1996.
Bagi meraikan detik bersejarah tersebut, Honda melancarkan dua varian istimewa iaitu Honda Step WGN e:HEV AIR EX 30th Anniversary Special Edition dan Honda Step WGN e:HEV SPADA 30th Anniversary Special Edition. Model itu dijadualkan mula dijual di pasaran Jepun pada 19 Disember 2025.
Sejarah, Evolusi Tiga Dekad
Sejak diperkenalkan pada Mei 1996, Honda Step WGN dikenali sebagai minivan gaya kotak 1.5L (badan + bonet separuh) FF (enjin depan, pacuan roda depan) yang direka untuk kegunaan keluarga.
Kelebihan utama yang dikekalkan sejak generasi pertama hingga generasi keenam kini ialah fleksibiliti konfigurasi tempat duduk dan ruang kabin antara terbesar dalam kelas.
Bagi model generasi keenam yang dilancarkan pada Mei 2022, Honda menumpukan kepada rekabentuk luaran ringkas dan kemas, serta ruang dalaman paling luas dalam sejarah Step WGN.
Pada Mei 2025, Honda menambah baik varian Step WGN AIR dengan memperkenalkan gred AIR EX yang dilengkapi ciri premium seperti pintu belakang kuasa elektrik dan tempat duduk baris kedua dengan penyokong kaki atau Ottoman.
Manakala bagi varian SPADA Premium Line, edisi Black Edition turut diperkenalkan bagi memberikan lebih pilihan kepada pelanggan yang menggemari kemasan tema hitam.
Ciri, Edisi Khas
Dua varian edisi khas ulang tahun ke 30 itu menerima peningkatan dari segi keselamatan dan keselesaan. Antara ciri teknikal dimuatkan sebagai standard kedua-dua varian adalah:
- Sistem kamera multipandangan
- Sistem sokongan keluar parkir undur
- Lampu ambien kabin jenis LED
- Pemanas tempat duduk baris kedua
- Lampu Suluh Tinggi Adaptif (AHB)
Bagi memberikan identiti eksklusif, Honda turut menampilkan emblem khas ulang tahun ke-30 dengan corak rekabentuk logo asal Honda Step WGN generasi pertama.
Selain itu, terdapat tag khas StepWGN 30th Anniversary yang dijahit pada kerusi sebagai penghargaan kepada pengguna setia model tersebut.
Spesifikasi Enjin, Prestasi Trenkuasa
Kedua-dua varian Honda Step WGN edisi khas itu dikuasakan unit enjin 2.0L DOHC i-VTEC (LFA-H4) dengan sistem hibrid dual-motor e:HEV. Sistem itu menggunakan bateri utama jenis litium-ion dengan 72 sel untuk membekalkan tenaga kepada motor elektrik.
Berikut perincian teknikal bagi unit enjin dan motor elektrik:
- Enjin pembakaran dalaman LFA
- Enjin 4-silinder sebaris 1,993cc
- Output 145ps (107kW) @ 6,200rpm, dan tork 175Nm @ 3,500rpm
- Motor elektrik (motor pacuan)
- Motor segerak arus ulang-alik (AC synchronous motor)
- Output 135kW (184ps) @ 5,000rpm - 6,000rpm, dan tork 315Nm @ 0 - 2,000rpm
Kuasa dihantar ke roda depan (FF) menerusi transmisi automatik eCVT. Dari segi kecekapan bahan api, model itu mencatatkan penggunaan purata 19.5km per liter bagi varian SPADA dan 19.6km per liter bagi varian AIR EX mengikut kitaran WLTC.
Pemanduan dalam bandar merekodkan kecekapan bahan api 19.7km per liter.
Pilihan Warna Mengikut Varian
i. Step WGN e:HEV AIR EX 30th Anniversary

Honda menawarkan pilihan warna berbeza bagi setiap varian bagi menyerlahkan karakter masing-masing. Varian Step WGN e:HEV AIR EX 30th Anniversary, menawarkan pilihan warna:
- Fjord Mist Pearl
- Platinum White Pearl
- Meteoroid Gray Metallic
- Crystal Black Pearl
- Seabed Blue Pearl
ii. Honda Step WGN e:HEV SPADA 30th Anniversary

Varian Step WGN e:HEV SPADA 30th Anniversary, menawarkan pilihan warna:
- Twilight Mist Black Pearl
- Platinum White Pearl
- Meteoroid Gray Metallic
- Crystal Black Pearl
- Premium Crystal Garnet Metallic
Harga Jualan
- Step WGN e:HEV AIR EX 30th Anniversary Special Edition (7-penumpang) - ¥4,098,600 yen (RM107,590)
- Step WGN e:HEV SPADA 30th Anniversary Special Edition (7-penumpang) - ¥4,159,100 yen (RM109,180)














































Leave a Reply