
JENAMA motosikal, Harley-Davidson Malaysia mencatat satu pencapaian bersejarah apabila berjaya menganjurkan Harley-Davidson Track Day pertama di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang, sekali gus membuka dimensi baharu pengalaman menunggang jenama ikonik Amerika itu kepada peminat tempatan.
Acara eksklusif ini menghimpunkan kira-kira 70 buah motosikal Harley-Davidson bersama penunggang dari seluruh Semenanjung Malaysia, yang diberi peluang merasai pengalaman tunggangan di litar perlumbaan bertaraf dunia dalam suasana terkawal dan selamat.
Pengalaman Unik Harley-Davidson Di Litar

Para peserta berpeluang menguji prestasi serta pengendalian model-model jelajah Harley-Davidson dalam persekitaran litar profesional, sesuatu yang jarang ditawarkan di Malaysia, terutamanya bagi motosikal bersesaran besar.
Antara model yang mengambil bahagian termasuk Road Glide™, Street Glide™, Road King™, CVO Street Glide™, Fat Boy™ serta beberapa model lain, membuktikan keupayaan barisan Harley-Davidson yang bukan sahaja sinonim dengan tunggangan jarak jauh, malah mampu beraksi dengan stabil dan yakin di litar.
Sokongan Komuniti H.O.G. Seluruh Negara

Track Day bersejarah ini turut disertai ahli daripada lima chapter Harley Owners Group (H.O.G.), iaitu H.O.G. Petaling Jaya Chapter, H.O.G. Route 77 Kuala Lumpur Chapter, H.O.G. Johor Bahru Chapter, H.O.G. Penang Chapter dan H.O.G. Kinabalu Chapter.
Kehadiran penunggang dari pelbagai negeri jelas mencerminkan semangat persaudaraan dan kekuatan komuniti dalam kalangan keluarga besar Harley-Davidson Malaysia, selari dengan nilai kebersamaan yang menjadi teras jenama tersebut.
Rakan Gaya Hidup & Persiapan Rally Nasional
Acara ini turut dimeriahkan dengan sokongan rakan gaya hidup Monster Energy yang memastikan tenaga peserta sentiasa berada pada tahap optimum, selain Inside Scoop yang menyediakan aiskrim pelbagai perisa dan makanan ringan di kawasan paddock.
Lebih daripada sekadar acara tunggangan di litar, Track Day ini berperanan sebagai sesi ‘warm up’ menjelang Malaysia National H.O.G. Rally yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Komitmen Perkukuh Pengalaman Penunggang
Acara ‘flag-off’ kebangsaan dijadualkan berlangsung pada 23 Januari 2026, dengan lebih 200 buah motosikal Harley-Davidson dijangka bergerak bersama menuju Adena Beach Resort, Kuantan, Pahang.
Penganjuran Track Day sulung ini menegaskan komitmen Harley-Davidson Malaysia untuk terus memperkaya pengalaman pemilikan dan tunggangan, di samping mengukuhkan semangat “United We Ride” dalam kalangan komuniti penunggang tempatan.






