GWM Malaysia terus menunjukkan komitmen jangka panjang dalam pasaran tempatan apabila mengumumkan pelan strategi 2026 hingga 2028 dengan fokus kepada pembangunan produk, teknologi dan rangkaian jualan.
Perancangan itu dikongsikan sempena acara Malam Penghargaan Media, sekali gus memberi gambaran jelas hala tuju jenama automotif dari China itu untuk memperkukuh kedudukan dalam industri automotif Malaysia yang semakin kompetitif.
Sasaran Besar: 60,000 Unit, Top 10 Malaysia
Antara sasaran utama diletakkan:
- 6 peratus pegangan pasaran
- 60,000 unit jualan tahunan
- 10 teratas jenama automotif Malaysia
- 3 teratas jenama automotif dari China
Sebagai rekod, GWM Malaysia merekodkan hampir 5,900 unit jualan pada 2025, iaitu peningkatan 177 peratus berbanding tahun sebelumnya, satu petanda awal penerimaan positif pengguna tempatan.
Strategi Teknologi: Fokus Hibrid, Platform Pintar
Dalam usaha membezakan diri daripada pesaing, GWM tidak hanya bergantung kepada faktor harga, sebaliknya menekankan pembangunan teknologi sebagai teras utama.
Antara fokus utama ialah:
- Platform pintar generasi baharu
- Teknologi keselamatan dipertingkat
- Sistem hibrid pintar
Salah satu teknologi penting ialah sistem Hi4 Hybrid, yang diperkenalkan menerusi Wey G9 Hi4 PHEV dan bakal digunakan secara meluas pada model akan datang.
Barisan Produk: SUV Jjadi Teras Utama
Seiring trend pasaran semasa, GWM menumpukan kepada segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dilihat terus berkembang di Malaysia.
Antara model baharu dirancang:
- GWM Tank 300 HEV
- Model SUV segmen-B dan -C (2026–2027)
- SUV segmen-C premium
Selain itu, GWM terus mengukuhkan empat jenama utama:
- Haval (SUV arus perdana)
- TANK (SUV off-road)
- Ora (kenderaan elektrik)
- Wey (SUV premium dan hibrid)
Strategi Multi-Powertrain: ICE, HEV, PHEV dan BEV
GWM Malaysia kekal dengan pendekatan pelbagai trenkuasa (multi-powertrain) yang menawarkan pilihan trenkuasa seperti:
- Enjin pembakaran dalaman (ICE)
- Hibrid (HEV)
- Hinbrid plug-in (PHEV)
- Kenderaan elektrik penuh (BEV)
Pendekatan itu dilihat lebih praktikal dalam menyokong peralihan ke arah elektrifikasi, selari keperluan dan infrastruktur semasa di Malaysia.
Rangkaian, Perkhidmatan Selepas Jualan Diperkukuh
Selain produk, GWM turut memberi penekanan terhadap pembangunan rangkaian jualan dan selepas jualan.
Antara inisiatif utama:
- Sasaran 60 pengedar seluruh negara
- 95 peratus ketersediaan alat ganti
- Penambahbaikan standard identiti korporat
- Pengukuhan sistem perkhidmatan GWM Care
Langkah itu penting bagi meningkatkan keyakinan pengguna terhadap jenama, khususnya dalam aspek sokongan selepas jualan.
Fokus CKD, Malaysia Sebagai Hab Asean
GWM Malaysia turut menyatakan komitmen terhadap pemasangan tempatan (CKD) sebagai sebahagian strategi jangka panjang.
Inisiatif itu membantu:
- Menawarkan harga lebih kompetitif
- Meningkatkan kecekapan rantaian bekalan
- Menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran dan eksport bagi rantau Asean.
Secara keseluruhan, pelan strategi diumumkan GWM Malaysia memperlihatkan pendekatan lebih menyeluruh, bukan sekadar memperkenalkan model baharu.
Sebaliknya merangkumi pembangunan teknologi, pengukuhan rangkaian dan pelaburan jangka panjang dalam pasaran tempatan.
Dengan sasaran agresif menjelang 2028, persoalan kini bukan lagi kehadiran GWM dalam pasaran Malaysia, tetapi sejauh mana jenama itu mampu berkembang dan bersaing dalam landskap automotif yang semakin mencabar.











