
Pelumba Mercedes-AMG Petronas Formula Satu (F1), George Russell memulakan musim 2026 dengan penuh gaya selepas memenangi Grand Prix Australia sekali gus mengetuai kemenangan 1-2 buat Mercedes bersama rakan sepasukan, Kimi Antonelli.
Perlumbaan pembuka musim di Albert Park itu berlangsung penuh aksi dengan strategi satu hentian yang digunakan Mercedes akhirnya memberikan kelebihan penting berbanding Scuderia Ferrari HP.
Pertarungan Awal Sengit

Perlumbaan bermula dengan aksi dramatik apabila pelumba Scuderia Ferrari HP, Charles Leclerc yang bermula di petak keempat berjaya memintas Russell untuk mendahului perlumbaan. Kedua-dua pemandu kemudian saling bertukar posisi dalam beberapa pusingan awal.
Situasi perlumbaan berubah apabila fasa Virtual Safety Car (VSC) dikeluarkan selepas Isack Hadjar dari Oracle Red Bull Racing terpaksa menghentikan keretanya di tepi litar. Kedua-dua jentera Mercedes mengambil peluang untuk melakukan hentian pit ketika itu, manakala Ferrari memilih untuk kekal di litar.
Satu lagi fasa VSC berlaku selepas pelumba Cadillac F1, Valtteri Bottas terpaksa bersara daripada perlumbaan, namun sekali lagi Ferrari memilih untuk tidak melakukan pit stop.
Strategi Mercedes Berhasil
Apabila Ferrari akhirnya membuat hentian pit, Russell dan Antonelli kembali mendahului perlumbaan. Situasi itu menimbulkan persoalan sama ada Mercedes perlu melakukan satu lagi pit stop menjelang penghujung perlumbaan.
Walaupun menggunakan tayar yang semakin haus, kedua-dua pemandu Mercedes berjaya mengekalkan rentak sehingga garisan penamat tanpa perlu berhenti sekali lagi. Russell akhirnya melintasi garisan penamat 2.9 saat di hadapan Antonelli untuk meraih kemenangan keenam dalam karier Formula 1 beliau.
Ferrari Lengkapkan Empat Terbaik

Leclerc menamatkan perlumbaan di tempat ketiga diikuti rakan sepasukan Lewis Hamilton di tempat keempat.
Juara dunia bertahan Lando Norris dari pasukan McLaren Mastercard F1 menamatkan perlumbaan di tempat kelima untuk McLaren selepas rakan sepasukan Oscar Piastri gagal menyertai perlumbaan akibat terbabas sebelum perlumbaan bermula.
Rakan sepasukan Hadjar, Max Verstappen pula melakukan kebangkitan konsisten dari kedudukan terakhir di grid untuk menamatkan perlumbaan di tempat keenam bagi Red Bull.
Keputusan Lain Perlumbaan
Ollie Bearman dari pasukan TGR Haas F1 memberikan keputusan positif buat apabila meraih tempat ketujuh manakala pelumba rookie pasukan Visa Cash App Racing Bulls, Arvid Lindblad meraih mata dalam perlumbaan sulungnya selepas menamatkan perlumbaan di tempat kelapan.
Gabriel Bortoleto dari pasukan Audi Revolut pula menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan dalam perlumbaan pertama Audi sebagai pasukan pengeluar penuh di Formula 1. Pierre Gasly dari pasukan BWT Alpine melengkapkan kelompok 10 terbaik.
Perlumbaan Seterusnya
Formula 1 akan terus menuju ke Shanghai untuk Grand Prix China yang dijadual berlangsung dari 13 hingga 15 Mac ini.
SUMBER: Formula1.com











