FERRARI kembali menghidupkan nama legenda Testarossa menerusi pengganti SF90, iaitu Ferrari 849 Testarossa.
Nama itu cukup ikonik dalam sejarah Ferrari sejak era 1980-an, dan kini muncul semula sebagai kereta hiper (hypercar) hibrid berkuasa lebih 1,000hp.
Sejarah Ringkas Testarossa
Testarossa asalnya dilancarkan pada 1984 sebagai pengganti Berlinetta Boxer, diilhamkan daripada jentera perlumbaan 1950-an, Ferrari 250 Testa Rossa.
Model itu kekal dalam pengeluaran lebih sedekad sebelum dihentikan 512M pada pertengahan 1990-an. Kini, selepas hampir tiga dekad, nama tersebut dihidupkan kembali.
Enjin Hibrid V8 Lebih Berkuasa
Jantung 849 Testarossa ialah enjin V8 F154 dipertingkat dengan dalaman lebih kukuh serta pengecas turbo lebih besar, menghasilkan output kuasa 818hp.
Digabungkan dengan tiga motor elektrik (dua di depan, satu di belakang), jumlah kuasa mencecah 1,036hp dalam pacuan semua roda (AWD) dan sistem pemvektoran tork (agihan tork pintar untuk kestabilan dan cengkaman lebih baik).
Model itu mampu memecut 0-100 kmj sepantas 2.3 saat dalam kelajuan tertinggi 330kmj, termasuk mampu bergerak sejauh 25km menggunakan kuasa pek bateri 6.5kWh pada kelajuan hingga 130kmj.
Prestasi Litar Fiorano
Di litar ujian Ferrari Fiorano, 849 Testarossa mencatat masa 1:17.5 minit, lebih pantas 1.5 saat berbanding SF90 Stradale (1:19.0).
Antara rahsianya, sistem aerodinamik aktif termasuk spoiler belakang boleh laras dalam masa kurang 1 saat, dan dibantu dua spoiler kecil gaya 'twin tail'. Hasilnya, daya mendapan (downforce) setinggi 415kg pada kelajuan 250kmj, iaitu 25kg lebih tinggi berbanding SF90.
Pakej Assetto Fiorano tersedia kepada mereka yang mahukan pemanduan fokus litar, dengan aerodinamik lebih agresif dan pengurangan berat sekitar 30kg, menjadikan berat kering sekitar 1,570kg.
Rekabentuk, Varian
Walaupun tidak menyalin rupa Testarossa asal, Ferrari 849 Testarossa baharu hadir dengan beberapa sentuhan tribut, seperti trim hitam berkilat yang menyambung lampu depan dan bampar depan dengan rekabentuk serong.
Ia juga ditawarkan dalam versi coupe dan Spider. Versi Spider menggunakan bumbung boleh lipat yang mengambil masa 14 saat untuk tutup/buka pada halaju hingga 45kmj, dengan tambahan berat sekitar 90kg berbanding coupé.
Kabin Fokus Pemandu
Bahagian dalaman direka lebih ringkas dengan menumpukan fokus pemandu berbanding SF90. Stereng kembali menggunakan butang fizikal, menggantikan kawalan sentuh yang kurang digemari sebelum ini. Kluster digital menyokong Apple CarPlay,Android Auto, dan MyFerrari Connect, termasuk disediakan pengecas wayarles.
Harga, Pengeluaran
Untuk pasaran Eropah, harga bermula sekitar €460,000 (RM2.36 juta) untuk coupé dan €500,000 (RM2.56 juta) untuk Spider. Harga di Amerika Syarikat (AS) dijangka lebih tinggi berbanding SF90 (sekitar AS$550,000 sebelum ini).
Pengeluaran akan bermula tahun depan, tetapu tempahan sudah pun dibuka. Adakah Ferrari 849 Testarossa mampu mengulangi aura legenda asal, atau bakal mencipta legasi baharu kereta hiper moden? Kongsikan pendapat anda!
SUMBER: Motor1.com
Leave a Reply