
FERRARI memperkenalkan Amalfi Spider, versi bumbung boleh buka jentera 2+2 yang dilancarkan sebelum ini. Model ini menggabungkan prestasi luar biasa dan versatiliti harian dengan keseronokan pemanduan bumbung terbuka tanpa mengorbankan aspek keselesaan atau gaya.
Evolusi Reka Bentuk dan Bumbung Lembut

Seni bina spider ini mengekalkan bentuk anggun kupe melalui penggunaan bumbung lembut atau soft top yang boleh dibuka dalam masa 13,5 saat sehingga kelajuan 60 km/j.
Bumbung fabrik lima lapisan ini hanya setebal 220 mm apabila dilipat, sekali gus menyediakan ruang bagasi sebanyak 255 liter (bumbung ditutup) dan 172 liter (bumbung dibuka).

Secara peribadi, versi spider lebih menonjol dalam menyerlahkan keanggunan Amalfi.
Ferrari turut memperkenalkan warna baharu Rosso Tramonto serta pilihan fabrik teknikal berkilau rona Tecnico Ottanio.
Ruang Kabin dan Antaramuka Digital

Kabin jentera ini membawakan konsep dual-cockpit dengan antaramuka digital yang terdiri daripada panel instrumen 15.6 inci, skrin tengah 10.25 inci dan paparan penumpang 8.8 inci.
Ciri utama termasuk stereng dengan butang fizikal, kembalinya butang mula atau start button ikonik, serta wind deflector bersepadu pada penyandar kerusi belakang yang boleh diaktifkan melalui butang untuk mengurangkan gelora udara sehingga kelajuan 170 km/j.
Trenkuasa

Jentera ini dikuasakan oleh enjin 3,855 cc V8 kembar turbo yang menghasilkan angka sama seperti Amalfi iaitu 640 ps pada 7,500 rpm dan tork 760 Nm antara 3,000 hingga 5,750 rpm.
Dinamik dan Aerodinamik

Sistem aerodinamik aktif merangkumi spoiler belakang dengan tiga konfigurasi iaitu Low Drag (LD), Medium Downforce (MD), dan High Downforce (HD) yang menghasilkan daya mendap tambahan sehingga 110 kg pada kelajuan 250 km/j.
Kawalan pemanduan diperkukuhkan dengan sistem Side Slip Control (SSC 6.1), ABS Evo dan teknologi brake-by-wire.
Pemandu boleh memilih lima mod pada Manettino iaitu Wet, Comfort, Sport, Race dan ESC-Off.
Sistem Brek Pintar

Model ini tampil dengan teknologi sistem brek pintar brake-by-wire yang meningkatkan kecekapan membrek serta modulasi pedal.
Sistem ABS Evo yang diselaraskan dengan sensor 6D membolehkan anggaran kelajuan dan cengkaman roda yang lebih jitu untuk mengoptimumkan agihan daya brek.

Spesifikasi Teknikal Ferrari Amalfi Spider
- Enjin: 3,855 cc V8 Turbo 90 darjah
- Kuasa Maksimum: 640 ps@7,500 rpm
- Tork Maksimum: 760 Nm@3,000 hingga 5,750 rpm
- Transmisi: 8 kelajuan dua klac F1 DCT
- Kelajuan Maksimum: 320 km/j
- Pecutan 0 ke 100 km/j: 3,3 saat
- Pecutan 0 ke 200 km/j: 9,4 saat
- Jarak Membrek 100 ke 0 km/j: 30,8 meter
- Jarak Membrek 200 ke 0 km/j: 119,5 meter
- Berat Kering: 1,556 kg
- Agihan Berat: 48 peratus hadapan / 52 peratus belakang
- Jarak Roda: 2,670 mm
- Kapasiti Tangki Bahan Api: 80 liter
- Kapasiti But: 255 liter (bumbung ditutup) / 172 liter (bumbung dibuka)
- Tayar Hadapan: 245/35 R20
- Tayar Belakang: 285/35 R20

































