SUPERCAR coupé V8 2+, Ferrari Amalfi dilancarkan sebagai pengganti Ferrari Roma dalam barisan grand tourer moden jenama dari Maranello itu.
Model tersebut direka dengan menggabungkan prestasi tinggi, keselesaan dan praktikaliti harian sebuah kereta sport yang masih sesuai digunakan setiap hari.
Rekabentuk Ferrari Amalfi menampilkan pendekatan minimalis dengan permukaan badan bersih dan aerodinamik.
Rupa depan didominasi ambilan udara besar dan bonet panjang yang menempatkan enjin V8 turbo, manakala rupa belakang dilengkapi spoiler aktif bagi meningkatkan kestabilan pada halaju tinggi.
Enjin V8 Twin‑Turbo Berkuasa 640hp
Ferrari Amalfi dikuasakan enjin 3.9L Twin‑Turbo V8 daripada famili F154 yang menghasilkan output kuasa 640hp @ 7,500rpm. Enjin itu dipadankan transmisi dual-klac (DCT) 8-kelajuan untuk anjakan gear pantas dan lancar.
Dari segi prestasi, Ferrari Amalfi mampu memecut 0 ‑ 100kmj sepantas 3.3 saat dan 0 ‑ 200kmj sepantas 9 saat.
Respons enjin Ferrari Amalfi turut dipertingkat menerusi pengurusan turbo baharu, komponen dalaman lebih ringan dan penggunaan minyak enjin kelikatan rendah bagi meningkatkan kecekapan dan tindak balas pendikit.
Kabin Dwi‑Kokpit Lebih Teknologi
Di bahagian dalaman, Ferrari Amalfi menampilkan susun atur dual‑kokpit yang memisahkan ruang pemandu dan penumpang secara visual tetapi masih kekal harmoni. Stereng baharu kembali menggunakan butang fizikal bersama butang tekan mula ikonik Ferrari.
Sistem infotainmen turut dipertingkat dengan paparan digital 15.6 inci untuk kluster insrumen, skrin tengah boleh sentuh 10.25 inci dan paparan penumpang 8.8 inci.
Konektiviti Apple CarPlay dan Android Auto disediakan bersama pengecas telefon wayarles.
Dinamik Pemanduan, Aerodinamik Baharu
Ferrari Amalfi turut dilengkapi sistem bek elektronik Brake‑by‑Wire dan ABS Evo untuk meningkatkan kecekapan brek dan kestabilan kenderaan. Teknologi itu bekerjasama dengan sistem Kawalan Gelincir Sisi (SSC) untuk memastikan kawalan optimum dalam pelbagai situasi pemanduan.
Dari segi aerodinamik, Ferrari Amalfi dilengkapi sayap belakang aktif yang boleh berubah kepada tiga mod berbeza bergantung kelajuan dan situasi pemanduan.
Dalam mod daya mendap (downforce) maksimum, supercar itu mampu menghasilkan tambahan daya mendap sehingga 110kg pada halaju 250kmj bagi meningkatkan kestabilan.
Grand Tourer Ferrari untuk Kegunaan Harian
Ferrari Amalfi dibangunkan buat mereka yang mahukan gabungan prestasi, gaya dan keselesaan dalam satu pakej. Konfigurasi tempat duduk 2+ membolehkan ruang belakang digunakan untuk meningkatkan kapasiti kargo atau membawa penumpang tambahan bagi perjalanan pendek.
Model itu juga hadir dengan program penyelenggaraan tujuh [7] tahun Ferrari Genuine Maintenance yang meliputi servis berkala di rangkaian pusat servis rasmi Ferrari seluruh dunia.











































