
PERKHIDMATAN Tren Elektrik (ETS) akan beroperasi 24 jam secara bermusim bermula Tahun Baharu Cina bulan depan, sebagai langkah memperkukuh sistem pengangkutan negara serta memberi manfaat langsung kepada rakyat ketika tempoh permintaan tinggi.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pelaksanaan itu melibatkan peningkatan kekerapan perkhidmatan ETS daripada 36 kepada 46 trip sehari, sekali gus membolehkan lebih ramai penumpang menikmati perjalanan yang lebih kerap, fleksibel dan selesa antara bandar utama di Semenanjung Malaysia.
Operasi 24 Jam Ketika Permintaan Tinggi
Menurut beliau, operasi ETS 24 jam hanya dilaksanakan ketika musim perayaan dan cuti panjang, bermula dengan Tahun Baharu Cina, sebelum diperluaskan ke perayaan lain.
Perkhidmatan ETS 24 jam ini hanya untuk musim perayaan, bermula Tahun Baharu Cina dan seterusnya perayaan-perayaan lain serta cuti panjang.
Kita mahu mengoptimumkan aset sedia ada dan menambah kapasiti ketika permintaan tinggi,” katanya.
ETS Jadi Tulang Belakang Perkhidmatan KTMB
Anthony berkata ETS kini menjadi antara perkhidmatan paling popular dalam kalangan rakyat dan pelancong, serta berperanan sebagai tulang belakang kepada operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Sehubungan itu, arahan sudah dikeluarkan supaya aset sedia ada dioptimumkan bagi menampung lonjakan permintaan.
Kita mahu pendekatan seperti syarikat penerbangan yang menambah penerbangan tambahan ketika musim puncak. Sebab itu KTMB kini memperkenalkan konsep ‘Midnight Trains’.
Apabila tiba musim permintaan tinggi, kita akan tambah kekerapan dan kapasiti supaya lebih ramai rakyat boleh mendapatkan tiket ETS,” jelasnya.
ECRL Kekal Mengikut Jadual Januari 2027
Dalam perkembangan berkaitan, Anthony menegaskan operasi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang merangkumi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor kekal mengikut jadual, iaitu Januari 2027, meskipun terdapat pandangan bahawa projek itu mungkin boleh beroperasi lebih awal.
Menurut beliau, sistem rel memerlukan penelitian rapi kerana melibatkan pelbagai komponen teknikal serta ujian integrasi sistem sebelum operasi boleh dimulakan.
Kita kena faham bahawa sistem kereta api bukan hanya tengok landasan, ia mesti ada integrasi sistem dahulu.
Pemeriksaan atau ujian sistem belum dimulakan dan bagi pihak MOT, kita masih kekal dengan jadual pada Januari tahun depan,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail, memaklumkan bahawa ECRL berkemungkinan boleh beroperasi seawal November, namun MOT menegaskan tarikh rasmi kekal Januari 2027.
SUMBER: SinarHarian




